.... DAP Tidak Perlu Cipta Alasan, Teruskan Sahaja Arahan ROS | AAKJ





DAP tidak perlu mencipta pelbagai alasan kecuali meneruskan sahaja arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya membuat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mereka.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, masalah yang dihadapi DAP ketika ini bukanlah disebabkan oleh pihak lain, sebaliknya berpunca daripada sikap parti itu sendiri yang hanya tahu bercakap mengenai soal demokratik, tetapi tidak mahu melaksanakannya.

“Saya fikir DAP kena ‘telan’ (akur) dengan masalah yang dihadapi mereka selain menerima hakikat bahawa mereka bukanlah parti yang demokratik. Kita (UMNO) tidak mahu masuk campur dalam urusan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat di sini hari ini.

Pada masa sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang dilapor enggan membenarkan DAP menggunakan logo PPBM jika pendaftaran parti sekutunya itu dibatalkan berkata, ia bukannya satu perkara yang mengejutkan.

Katanya, walaupun PPBM itu wujud atas sokongan DAP, namun Dr. Mahathir berkemungkinan tidak mahu partinya berkubur.

“Walaupun hayat PPBM itu diperoleh dengan menagih sokongan DAP, namun Dr. Mahathir mungkin melihat jika sekutunya bertanding atas tiket PPBM, partinya itu akan terus terkubur kerana ditolak secara total oleh orang Me­layu.

“Walhal, jika DAP berkubur maka PPBM juga akan berkubur,” ujarnya.

Terdahulu, Annuar ketika ber­ucap semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Langat menegaskan seluruh ahli UMNO perlu sedar taktik DAP untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini termasuklah orang Melayu.

Sambil memberikan analogi mengenai kapak dan hulu, beliau menyatakan, DAP sedar untuk melaksanakan agenda mereka termasuk menguasai pentadbiran negara, ia tidak boleh dilakukan secara sendirian atau melalui mata kapak semata-mata.

Sebaliknya, DAP perlu menyokong parti-parti Melayu serpihan lain seperti PPBM, PKR dan PAN yang dianggapnya sebagai kayu hulu kapak.

“DAP tahu pokok takkan boleh ditebang dengan mata kapak semata-mata, maka mereka cari kayu hulu. PPBM, PKR dan PAN merupakan serpihan kayu yang dijadikan hulu kapak untuk tumbangkan UMNO,” ujarnya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top