.... DAP Tak Tahu Kesalahannya, Mahu Jumpa ROS | AAKJ





DAP terus mencari 'kesalahan' Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) selepas parti itu diarahkan oleh agensi kerajaan itu supaya mengadakan pemilihan semula bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).


Selepas ROS tidak mengiktirafnya CEC pada 2013, DAP memfailkan semakan kehakiman terhadap ROS pada 22 Januari 2014. Namun tuntutan DAP itu bagaimanapun digugurkan.


Jumaat lalu, ROS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC baharu dengan mendakwa pemilihan semula pada 2013 tidak sah.

Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata pemilihan yang baharu perlu memandangkan pelantikan yang dibuat pada 29 September 2013 tidak sah.

Bagaimanapun, arahan ROS tidak disambut baik oleh DAP sebaliknya mendakwa kemungkinan adanya ‘campur tangan UMNO’ dalam keputusan ROS.


Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya mendakwa ROS tidak pernah memaklumkan kesalahan yang dilakukan DAP sehingga mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi CEC.


Walaupun persoalan itu pernah dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen, namun jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri menghampakan, kata Tony.


"Kami tidak pernah diberitahu apa kesalahan atau mungkin telah mengingkari mana-mana arahan dalam proses pemilihan semula pada 2013. Walaupun persoalan itu berulang kali dibangkitkan di Parlimen, jawapan daripada Menteri Dalam Negeri adalah 'ROS masih menyiasat'," dakwa beliau dalam satu kenyataan, semalam.


Tony berkata, kini selepas hampir empat tahun pemilihan semula yang dibuat berdasarkan syarat 2012, ROS sekali lagi mengulangi arahan meminta DAP mengadakan pemilihan semula.


Katanya, DAP sentiasa bekerjasama dengan ROS ketika diarahkan membuat pemilihan semula pada 2013.


"Pada 30 Julai 2013, ROS arahkan kami adakan pemilihan semula CEC, justeru pada 29 September 2013, kami akur dan mengadakan kongres khas.


"Pemilihan itu disertai 2,576 perwakilan dan ia adalah perwakilan yang sama ketika membuat pemilihan pada 2012," katanya.


Menurutnya, DAP menggunakan senarai perwakilan yang sama dalam pemilihan 2013 kerana mengikut arahan yang dikeluarkan ROS.


"ROS mengarahkan pemilihan semula pada 2013 berdasarkan pada senarai pemilihan yang diadakan pada 15 Disember 2012 iaitu melibatkan 2,576 perwakilan berkelayakan. Kami dah ikut arahan tersebut.


"Di sinilah timbul persoalan,hanya ROS yang mempunyai jawapan, atas sebab itulah kami ingin bertemu mereka sebaik sahaja menerima surat rasmi," katanya.


Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini mendakwa, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebenarnya tidak berhasrat untuk mengadakan pemilihan semula CEC parti itu bagi memastikan Dinasti Lim terus berkuasa - Kedahnews.com

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top