.... DAP kata Sudah Bersedia Adakan Semula CEC | AAKJ





DAP akhirnya akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Naib Pengerusi DAP yang belum disahkan jawatan, Teresa Kok berkata, pihaknya bersedia untuk melaksanakan pemilihan CEC di bawah protes menerusi kongres khas dengan berdasarkan senarai perwakilan tahun 2012.

Bagaimanapun menurut Teresa, terpulang kepada ROS bagi menentukan tempoh sesuai terhadap DAP untuk melaksanakan CEC.

“Namun kami perlu terlebih dahulu menunggu jawapan pengesahan ROS berhubung senarai nama 2,576 perwakilan.

“DAP justeru itu menuntut agar diadakan satu pertemuan bersama Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah bagi membincangkan isu-isu pemilihan semula CEC,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat ROS di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Terdahulu, Teresa dan Anthony Loke hadir ke Ibu Pejabat ROS bagi menyerahkan surat jawapan ekoran notis dikeluarkan jabatan itu berhubung arahan mengadakan semula pemilihan parti.

Mereka hadir ekoran kemelut melanda DAP setelah ROS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota jawatankuasa yang sah dan diiktiraf.

Semalam, Mohammad Razin menegaskan bahawa pihaknya tidak berganjak daripada keputusan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula.

Menurut beliau, sekiranya DAP gagal berbuat demikian, CEC parti itu tidak akan diiktiraf dan kesannya, jawatankuasa tersebut tidak boleh berfungsi secara sah.

DAP menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya yang masih belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng kelmarin terus berdegil bahawa pihaknya tidak sesekali mematuhi keputusan ROS dengan alasan arahan yang dikeluarkan berdasarkan berita palsu.

Baru-baru ini, ROS telah mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top