.... Dalam Ladang Pun Kena Saman? Ini Penjelasan Polis | AAKJ




JEMPOL – Sejak beberapa hari lalu menjadi tular satu rakaman video memaparkan tindakan pihak polis menyaman beberapa buah kenderaan di sebuah jalan berhampiran ladang kelapa sawit, di sini.

Daripada informasi awal, kumpulan lelaki berbangsa India itu dikenakan saman ekoran melalui sekatan jalan raya yang dilakukan di ‘jalan kampung’ yang masih belum berturap oleh anggota Polis Trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jempol, Selasa lalu.

“Tuan, ini jalan kampung boleh saman ke? Mana boleh saman. Baru ini dunia first time jalan kampung boleh dapat saman,” kata seorang lelaki menerusi rakaman video.

“Ini majlis daerah punya jalan. Tak apa kita jumpa di mahkamah,” jawab pegawai polis tersebut.


Lantas perkara itu menimbulkan kemarahan segelintir netizen kononnya tindakan anggota polis berkenaan adalah tidak masuk akal kerana ianya sebuah jalan merah di dalam hutan.





Merujuk perkara ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan tampil mempertahankan tindakan anggota mereka dengan menyatakan ianya adalah berdasarkan prosedur operasi standard (S.O.P).

Polis memberitahu kesemua pemilik kenderaan itu dikenakan saman setelah didapati menghalang laluan di Kampung Serampang Indah (GATCO) iaitu merupakan tanah rezab jalan yang dimiliki kerajaan negeri.

“Berdasarkan fakta daripada Pejabat Tanah dan Daerah Jempol, menyatakan bahawa laluan jalan sepajang 1.8km dengan kelebaran jalan seluas 40 meter merupakan rezab jalan yang dimiliki oleh kerajaan negeri.

“Tindakan pemilik kenderaan itu telah menyebabkan gangguan serta halangan kepada pihak yang perlu menggunakan jalan terbabit.

“Maka tindakan PDRM berlandaskan kepada peraturan undang-undang di bawah akta 333 akta pengangkutan jalan 1987 seksyen 48 galangan disebabkan kenderaan di jalan,” jelas pihak polis memetik kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Sehubungan itu, diharapkan semua pihak jelas dan tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung kejadian ini. – MYNEWSHUB

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top