.... CEC 2012: DAP Didesak Dedahkan Senarai Penuh Perwakilan | AAKJ





Kepemimpinan DAP didesak mengeluarkan senarai penuh perwakilan ke mesyuarat agung 2012 untuk diguna pakai pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan datang.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Seri Sungai Pelek, Sepang, Tan Tuan Tat, berkata tindakan itu untuk melancarkan pemilihan CEC baharu seperti diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), baru-baru ini.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat pada sidang media di Sungai Long meminta Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng akur kepada arahan ROS serta mengadakan pemilihan semula dan segera mengikut perlembagaan DAP.

Beliau berkata sejak 2013, ROS tidak mengesahkan pemilihan CEC 2012, yang sehingga sekarang tidak dipatuhi DAP.

“Persoalannya sekarang, kenapa pimpinan DAP enggan menggunapakai senarai 865 cawangan dan perwakilan CEC 2012?

“Adakah kerana senarai 2,576 perwakilan daripada 865 cawangan yang diumumkan dahulu tidak sah?

“Soalan kami, kalau senarai diberikan dulu tidak sah, sudah tentu ibu pejabat DAP tiada masalah menghantar notis pemilihan semula kepada semua perwakilan di dalam senarai itu mengikut perlembagaan DAP sendiri, iaitu Kongres Kebangsaan bukan Kongres Khas, yang perlu notis 10 minggu,” katanya pada sidang media, di sini.

Tuan Tat yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, berkata pemilihan semula CEC perlu diadakan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-14 kerana kepemimpinan DAP ketika ini tidak sah dan tidak layak menandatangani watikah calon parti itu.

Katanya, ahli akar umbi DAP turut menggesa kepemimpinan parti menyenaraikan peratusan perwakilan CEC 2012, yang dikatakan sudah meninggal dunia dan meninggalkan parti sama ada dipecat atau keluar sendiri.

“Alasan ‘sudah mati’ dan ‘sudah keluar parti’ dikemukakan kepemimpinan DAP tidak munasabah dan tak masuk akal. Keangkuhan dan kedegilan DAP yang tidak sah boleh menjejaskan masa depan parti, jangan sampai ahli tuduh mereka sengaja sabotaj parti dengan terus beri alasan tidak munasabah,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan segelintir pemimpin DAP gentar jika Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, dipilih memimpin parti, Tuan Tat tidak menafikan hal itu.

“Ramai yang tahu Seng Giaw jauh lebih baik daripada kepemimpinan sekarang. Saya rasa, selepas ini akan ada ramai ahli DAP atau perwakilan akan keluar mencabar kepemimpinan DAP sekarang,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top