.... Tolak Jawatan Perdana Menteri Satu Lagi Sandiwara Politik Anwar | AAKJ



IPOH, 20 Jun: Tindakan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak jawatan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanya gimik politik untuk meraih sokongan peribadi.

Bernama melaporkan anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semasa menegaskan perkara itu berkata pendekatan Anwar itu tidak akan berjaya memandangkan pembangkang ketika ini berdepan dengan perpecahan dalam kalangan mereka.

“Perpecahan itu ditambah dengan penolakan PAS terhadap ajakan Pakatan Harapan untuk menganggotai gabungan tersebut. Dulu DAP dan PKR kuat pun disebabkan sokongan PAS, sekarang berlaku sebaliknya. Saya nak tanya, kalau keadaan ini (perpecahan) berterusan adakah mereka akan menang?

“Kita tak perlu percaya kepada apa yang diperkatakan Anwar. Dia sebenarnya hanya nak tutup perpecahan yang berlaku dalam pembangkang dan mahu mereka fokus pada PRU14,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Aura Ramadan di sini, malam tadi.

Beberapa hari lalu, beberapa portal berita melaporkan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 2015 memutuskan untuk tidak menawarkan diri sebagai perdana menteri atas alasan mahu memberi tumpuan kepada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata Kolej Taj dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan bekerjasama bagi memberi peluang kepada pelajar luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke kolej tersebut.

“Setakat ini, kami sedang dalam proses terakhir untuk memuktamadkan kerjasama antara pentadbiran kolej dan NAFAS.

“Sekiranya berhasil, ia akan memberi peluang kepada anak petani, nelayan, peladang, penternak selain yang tinggal di luar bandar dapat melanjutkan pelajaran ke kolej ini,” katanya.

- MALAYSIAN TIMES

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top