.... Tiga Exco Armada PPBM Dituduh Belot | AAKJ





Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuduh tiga Exco Armada yang melancarkan ‘serangan’ terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, sebagai belot.

Beliau melontarkan tuduhan itu kerana percaya ketiga-tiga mereka iaitu Muhammad Hafiz Azhar, Mohamad Taufik Abbas serta Abd. Wahazir Abd. Wahab bersekongkol dengan pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin berhubung isu saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

Syed Saddiq percaya ketiga-tiga Exco terbabit telah dipergunakan oleh pengendali blog tersebut untuk bercerita mengenai pertemuan sulit Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tentang saman sivil tersebut yang didakwanya tidak pernah berlaku.

Menurut beliau, ketiga-tiga Exco Armada berkenaan mempunyai rekod yang tidak baik ketika berada di dalam PPBM.

“Sudah ada beberapa pemimpin Armada telah menjual maruah diri dan saya rasa mereka ini telah menghubungi Raja Petra atau Raja Petra menghubungi mereka untuk katakan bahawa Syed Saddiq pernah maklumkan kepada mereka (mengenai pertemuan sulit Dr. Mahathir dan Daim).

“Raja Petra seorang yang bijak dan beliau telah berjaya mempergunakan tiga Exco ini. Ketiga-tiga mereka memang bermasalah, panggil mesyuarat tak datang, telefon tak angkat. Banyak kita buat forum sama ada terbuka atau tertutup dengan Dr. Mahathir, mereka hadir seperti Muhammad Hafiz tapi tak tanya soalan pun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Raja Petra kelmarin mendakwa sebelum DoJ membuat serangan kedua terhadap 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) pada 15 Jun lalu, Syed Saddiq telah mengetahui maklumat itu terlebih dahulu dan dikatakan memberitahu tiga Exco Armada itu mengenai maklumat tersebut.

Dakwa Raja Petra, Dr. Mahathir melakukan kesilapan kerana melibatkan budak mentah seperti Syed Saddiq dalam perancangan sulit bersama Daim.

Dakwa beliau lagi, dalam pertemuan dengan tiga Exco Armada itu, Syed Saddiq telah memberitahu bahawa Daim membelanjakan RM50 juta untuk menjayakan operasi tersebut dan sebahagiannya dibayar kepada Yayasan Clinton.

Syed Saddiq berkata, beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggantung sementara keahlian mereka sebelum kes itu dirujuk kepada Lembaga Disiplin PPBM untuk diambil tindakan dan kemungkinan besar melucutkan keahlian ketiga-ketiganya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top