.... Tiga Exco Armada Didakwa Belot | AAKJ





Kemelut kepemimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat semakin meruncing apabila ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa tiga exco yang melancarkan serangan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai bersekongkol dengan pengendali blog, Raja Petra Kamaruddin.

Syed Saddiq mendakwa, ketiga-tiga exco terbabit dipercayai telah digunakan oleh pengendali blog tersebut untuk bercerita mengenai perancangan sulit Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tentang saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat yang didakwanya tidak pernah berlaku.

Menurutnya, tiga exco Armada tersebut adalah Muhammad Hafiz Azhar, Mohamad Taufik Abbas serta Abd. Wahazir Abd. Wahab dan mereka sebelum ini mempunyai rekod tidak baik ketika berada dalam PPBM.

“Sudah ada beberapa pemimpin Armada telah menjual maruah diri dan saya rasa mereka ini telah menghubungi Raja Petra atau Raja Petra menghubungi mereka untuk katakan bahawa Syed Saddiq pernah maklumkan kepada kami.

“RPK (Raja Petra Kamaruddin) seorang yang bijak dan beliau telah berjaya mempergunakan tiga exco ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Raja Petra kelmarin mendakwa sebelum DoJ membuat serangan kedua terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 15 Jun lalu, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq telah mengetahui maklumat itu dan memberitahu tiga exco Pemudanya berkenaan maklumat tersebut.

Beliau berkata, kesilapan Dr. Mahathir Mohamad apabila melibatkan budak mentah seperti Syed Saddiq dalam perancangan sulit bersama Tun Daim Zainuddin.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top