.... Tidak Layak Untuk Kaitkan UMNO, Syed Saddiq Patut Jaga Tepi Kain Sendiri | AAKJ





Ketua Armada Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan supaya menjaga tepi kain sendiri dan menyelesaikan masalah parti itu, bukannya mencari ruang untuk mencari salah dan mempertikaikan parti lain.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Syed Saddiq tidak layak untuk mengaitkan UMNO dengan kemelut parti berkenaan yang menyaksikan semakin ramai pemimpin akar umbi hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan PPBM akibat masalah integriti.

“Dan tindakan beliau cuba mengheret Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghadiri forum dinamakan sebagai ‘Nothing To Hide’ yang akan menemukannya dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lain hanya cuba untuk menutup kelemahan parti itu, yang semakin jelas kelihatan.

“Malah tindakan melabelkan Najib sebagai pengecut dan penakut sekiranya tidak menghadiri forum itu adalah sikap paling kurang ajar dan tidak menghormati kepemimpinan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Exco Armada PPBM, Muhammad Hafiz Azhar bersama lebih 30 ahli PPBM menyatakan sokongan dan mendesak agar Dr. Mahathir memberi penjelasan mengenai kekayaan anak-anak­nya.

Hari ini, Syed Saddiq mengumumkan akan menganjurkan forum ‘Nothing To Hide’ dan ‘menjemput’ Najib untuk bersama-sama Dr. Mahathir menjawab soalan berbangkit daripada mana-mana pihak.

Tambah Nazir Hussin, Syed Saddiq tidak perlu mengaitkan mana-mana pemimpin UMNO kerana ahli akar umbi mahu Pengerusi parti itu sendiri menjelaskan kekayaan luar biasa anak-anaknya dan juga skandal Nika Gee yang melibatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tidak ada kaitan langsung dengan UMNO.

“Syed Saddiq yang baru setahun jagung dalam politik perlu cermin diri sendiri kerana parti itu sendiri yang mengamalkan sikap ‘Everything To Hide’ seperti yang didakwa Muhammad Hafiz, bukannya UMNO.

“Sepatutnya Syed Saddiq membuat satu program yang melibatkan Tun Dr. Mahathir dan Muhyid­din untuk menjawab segala tuduhan tersebut,” jelasnya.

Menurut Nazir Hussin, ketika ahli akar umbi mempertikaikan kredibiliti dan integriti pemimpin PPBM, Syed Saddiq cuba menjadi ‘hero’ dengan membuat sidang akhbar penafian, sedangkan beliau sendiri diam menikus apabila isu berkenaan dibangkitkan dalam aplikasi WhatsApp.

“Pada sidang akhbar hari ini, beliau langsung tidak menjelaskan dakwaan yang dibangkitkan ahli akar umbi itu tetapi sekadar mencari publisiti murahan de­ngan melemparkan bermacam-macam tuduhan kepada UMNO khususnya Najib.

“Apakah beliau juga tidak sedar ramai ahli PPBM yang keluar parti sejak kebelakangan ini me­nunjukkan sokongan terhadap parti itu semakin merudum, tetapi jaguh muda ini masih hendak tunjuk handal,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top