.... Tapak Pelupusan Sampah Haram Dibenarkan Kerajaan Selangor | AAKJ





Kerajaan Negeri Selangor digesa bertanggungja­wab sepenuhnya terhadap ke­wu­judan tapak pelupusan sampah haram seluas lima hektar di Kampung Limau Manis, Sungai Merab di sini yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah itu menyebabkan para penduduk sekitarnya termasuk di Putrajaya berhadapan masalah kesihatan ekoran terpaksa menghidu asap pembakaran sampah berpunca dari kawasan tersebut.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk mengambil langkah menutup serta-merta tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Ekoran itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa mengeluarkan peruntukan sebanyak RM10,000 sehari untuk operasi memadam kebakaran.

“Kegagalan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah tapak sampah ini telah menyusahkan seluruh rakyat Selangor. Ini akibat sikap menteri besar sibuk berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau tapak pelupusan sampah itu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Kebakaran yang berlaku di tapak itu sejak 14 Mei lalu telah menyebabkan asap tebal menyelubungi Putrajaya dan sekitar Sungai Merab sehingga memaksa pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dikerah untuk memadam kebakaran.

Mengulas lanjut, Noh menjelaskan, tindakan pertama yang perlu diambil untuk mengatasi kebakaran tapak pelupusan sampah itu adalah mengambus semula kawasan dan ia memerlukan kos perbelanjaan sehingga RM16 juta.

Namun, beliau menjelaskan, perkara itu bukan di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat untuk mengeluarkan peruntukan tersebut kerana soal pengurusan sampah di Selangor merupakan tugas kerajaan negeri.

“Azmin kata Selangor mempunyai rezab berbilion-bilion ringgit, jadi tidak akan menjadi kesukaran sepatutnya bagi pihak kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan untuk mengambus semula tapak itu demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Noh berkata, keengganan kerajaan negeri menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) untuk menyerahkan soal pengurusan sampah kepada kerajaan Pusat telah menyebabkan isu-isu sampah di negeri itu tidak selesai sehingga kini.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top