.... Tamadun Bangsa Jadi Rosak Disebabkan Politik Pakatan Harapan | AAKJ





Dewan Ulama PAS Pusat mendedahkan Pakatan Harapan selama ini menggunakan strategi politik kebencian dalam usaha mereka mempengaruhi fikiran rakyat supaya membenci lawan politik mereka.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, strategi itu bercanggah dengan nilai politik demokrasi yang kini dipegang oleh PAS dan Barisan Nasional (BN) demi kebaikan rakyat dan negara.

Jelas beliau, politik kebencian mungkin memberi keuntungan jangka masa pendek buat Pakatan Harapan, namun ia bakal merosakkan pembinaan tamadun bangsa dan negara untuk jangka masa panjang.

“Politik sepatutnya dibina atas asas menghormati perbezaan pandangan politik dalam pelbagai isu tanpa merosakkan hubungan peribadi kemasyarakatan. Budaya politik ilmu, politik idea dan politik damai sejahtera perlu diwariskan kepada generasi akan datang.


“Sebagai pembangkang PAS terus memberikan pelbagai pandangan kepada kerajaan serta mengkritik pelbagai dasar parti politik pemerintah yang tidak memberikan keuntungan kepada negara dan rakyat sebagai satu proses semak dan imbang.

“Namun, segala kritikan dan perbezaan pandangan politik perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup budaya matang, sejahtera dan berakhlak berasaskan konsep nasihat dan amar makruf nahi mungkar sebagaimana pedoman al-Quran dan al-Sunnah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Khairuddin memberi contoh politik demokrasi yang matang menyaksikan kerajaan memberi pengiktirafan kepada wakil rakyat pembangkang untuk bersama dalam pelbagai program rasmi kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat.

Katanya, seperti negara barat Australia dan United Kingdom, wakil rakyat pembangkang menganggotai pelbagai jawatankuasa pentadbiran di pelbagai peringkat sama ada kerajaan tempatan atau negeri atau persekutuan demi kebaikan rakyat.

Justeru, katanya, atas nilai itu beliau selaku pemimpin PAS turut serta dalam beberapa program anjuran kerajaan BN yang menguntungkan rakyat walaupun PAS merupakan sebuah parti pembangkang.

Malangnya, kata beliau, ahli politik pembangkang (Pakatan Harapan) yang tidak matang menjadikan gambarnya dalam majlis-majlis tersebut sebagai modal politik murahan bagi mengheret rakyat terus menaja agenda politik kebencian mereka di media sosial.

“Semua bentuk program tersebut adalah dalam kerangka membentuk satu budaya politik yang matang dan berhemah yang menguntungkan rakyat. Budaya lama berpolitik sehingga berpatah arang berkerat rotan sudah berlalu. Generasi baru Malaysia menuntut satu perubahan dalam gaya berpolitik.

“Kita boleh berbeza pandangan dan berbalas hujah di Parlimen dan DUN tapi tidak untuk menjadi seperti kera dan monyet yang menjerit dan berteriak di dalam hutan. Demokrasi perlu dihormati. Sidang Parlimen dan DUN adalah medan berwacana bukan bertegang leher menunjuk hero,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top