.... Pulau Pinang Negeri Yang Gagal | AAKJ





Selepas mengesahkan Perbelanjaan Operasi Tahunan Pulau Pinang secara konsisten meningkat setiap tahun mencecah 500 peratus dari apa yang dibelanjakan pada 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih gagal menjawab dengan jelas persoalan yang kami kemukakan minggu lalu sebaliknya memilih untuk melencong dan membuat kenyataan retorik.Bagi mengelakkan keraguan, kami ulangi persoalan kami dengan secara lebih jelas melalui jawapan ya atau tidak.

Adakah benar kerajaan negeri Pulau Pinang telah menjual atau memperdagangkan tanah dan aset bernilai sekurang-kurangnya RM37 bilion sejak DAP mengambil alih kerajaan negeri pada 2008?

Kami bersedia mengemukakan senarai urusniaga berkenaan untuk Guan Eng mengesahkan jika beliau bersedia untuk mengesahkan atau mempertikaikan senarai itu.

Adakah benar tidak banyak lagi tanah milik kerajaan negeri untuk dijual sebagaimana dinyatakan oleh Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tahun lalu?

Peningkatan kos PTMP

Adakah benar kos bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah meningkat pada harganya dari RM27 bilion kepada RM46 bilion sejak setahun lalu sebagaimana dinyatakan oleh Chow.

Adakah benar kerajaan negeri Pulau Pinang akan membuat pinjaman dari bank bagi mengisi jurang perbezaan antara RM27 bilion dan RM46 bilion sebagaimana dinyatakan Chow melalui temuramahnya dengan The Edge, pada Julai tahun lalu? Chow dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri terpaksa membuat pinjaman bank bagi mengimbangi baki kos pembinaan PMTP.

Benarkah kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini memindahkan dana dari rizab kerajaan negeri sebanyak RM609 juta sebagai pinjaman kecemasan kepada syarikat milik kerajaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan PDC telah mencatatkan keuntungan yang menjunam sebanyak 80 peratus pada tahun sebelum ini dan tambahan RM30 juta kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)?

Demi ketelusan dan akauntabiliti, soalan di atas adalah relevan kepada masa depan Pulau Pinang dan rakyatnya.

Masa depan yang gelap

Jika semua jawapan ya diberikan kepada soalan di atas, maka ia menjurus kepada masa depan yang gelap buat Pulau Pinang dan penduduknya.

Ini turut membawa kepada masa depan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang sudah menetapkan perbelanjaan operasi meningkat kepada 500 peratus, jumlah tanah yang tidak banyak bagi menampung perbelanjaan dan kini bersiap sedia untuk membuat pinjaman berbilion bagi membiayai projek mega yang turut mengalami peningkatan hingga RM46 bilion, di mana ia adalah satu projek dengan keuntungan yang tidak pasti memandangkan kebanyakan projek pengangkutan awam akan mengalami kerugian.

Antara lain, dalam meningkatkan perolehan, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menaikan cukai harta dan cukai pintu bagi tempoh tiga tahun, meningkatkan kadar letak kereta, menaikkan kadar air sebanyak empat kali, menggandakan kadar pengekstrakan air mentah, menaikkan penalti terhadap pemaju perumahan sebagai menggantikan kegagalan menyediakan rumah mampu milik dan meningkatkan pelbagai jenis denda bagi pihak berkuasa tempatan.

Pendek kata, ini jelas bakal membawa Pulau Pinang ke era kegagalan dan muflis di mana penduduknya bakal berdepan dengan pelbagai kenaikan bagi denda, cukai serta kadar air bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri.

Rencana ini ditulis oleh Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top