.... Perjanjian Dengan Bank China Secara Tergesa-gesa, Kenapa Guan Eng Buat Begitu? | AAKJ





Kerajaan DAP Pulau Pinang dipersoal kerana didakwa memeterai perjanjian kerjasama dengan Exim Bank of China bagi pembiayaan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri dua bulan sebelum tarikh tutup permohonan tender.

Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri, Jason Loo mendakwa, kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan tender bagi PIP bernilai RM27 bilion itu bermula pada 8 Ogos hingga 16 Disember 2014 sebelum dilanjutkan kepada 16 Februari 2015.

Ujar beliau, salah satu syarat permohonan tender itu adalah syarikat yang menyertainya perlu membentangkan model kewangan untuk mengimplementasi komponen di bawah PIP.

Dalam erti kata lain, katanya, sebarang model kewangan yang dicadangkan dan dibentangkan bagi PIP itu hanya boleh dinilai serta diketahui selepas tarikh tutup permohonan tender iaitu selepas 16 Februari 2015.

“Apa yang menghairankan Kerajaan DAP Pulau Pinang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Exim Bank of China pada 16 Disember 2014, iaitu dua bulan sebelum tarikh tutup permohonan tender tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menjelaskan, kerajaan negeri telah menandatangani MoU dengan Exim Bank of China bagi membolehkan pinjaman dibuat daripada bank tersebut pada bila-bila masa termasuk bagi pelaksanaan PIP.

Dalam pada itu, Jason turut mempersoalkan kenyataan Kerajaan Negeri DAP kononnya beberapa perancangan di bawah PIP boleh dilakukan secara serentak tanpa mengikuti prosedur rasmi yang dianggap agak membazir masa.

Jelas beliau, perkara itu bertentangan dengan tindakan kerajaan negeri yang mengambil masa sehingga tiga tahun untuk meluluskan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017 iaitu ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lalu.

“Bukankah pengambilan masa tiga tahun untuk meluluskan dasar bagi membolehkan kerajaan negeri meminjam wang daripada bank atau institusi kewangan asing itu dianggap membazir masa?” katanya.

Ujar beliau, segala tindak-tanduk itu memperlihatkan dasar pentadbiran yang tidak cekap, tiada akauntabiliti dan tidak telus yang kononnya menjadi pegangan Kerajaan DAP Pulau Pinang selama ini.

- Utara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top