.... Peguam Negara : Tiada Bukti Salah Guna Wang 1MDB | AAKJ





Peguam Negara berkata tidak ada bukti penyalahgunaan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai bidang kuasa.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) mengambil perhatian mengenai tindakan undang-undang sivil terbaharu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ). 

Beliau berkata, tindakan kedua itu berlaku pada ulang tahun tindakan pertama dan ia adalah tindakan ulangan. 

“Kami ingin menyatakan rasa kecewa kerana sekali lagi AGC tidak dimaklumkan atau diberitahu oleh DoJ berhubung tindakan ini.

“Kami juga mendapati bahawa tidak ada bukti daripada mana-mana penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang bagi pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan wang disalahgunakan daripada 1MDB dan bahawa tidak ada sebarang tuduhan jenayah dibuat terhadap mana-mana individu bagi penyelewengan dana daripada 1MDB.

“Selepas semakan, kami mendapati bahawa tiada jenayah dilakukan. Pada masa ini, masih ada penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 1MDB.

“Namun AGC tidak menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau bukti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Apandi berkata, 1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan pernah menjadi subjek beberapa siasatan dalaman Malaysia termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Kami ingin menyatakan rasa bimbang terhadap sindiran mengenai salah laku jenayah yang dibuat terhadap Perdana Menteri. Tindakan sivil itu langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku jenayah,” katanya.

Mohamed Apandi juga berkata sehingga kini, AGC tidak menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan apa-apa maklumat atau bukti.

“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan apa-apa permintaan sedemikian selaras dengan komitmen kami untuk menjalinkan kerjasama antarabangsa dan memerangi pengubahan wang haram.

“Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, AGC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan jenayah, dengan syarat adanya bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang perbuatan salah laku akan dihukum dan Malaysia akan sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top