.... NGO : KDN Digesa Siasat Siapa Penganjur “Jurusalem Jubilee” | AAKJ





Beberapa gabungan NGO hari ini mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dalang disebalik penganjuran acara “Jurusalem Jubilee” yang julung kali diadakan di negara ini walaupun ia telah dibatalkan penganjur terbabit.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, penganjuran acara itu seharusnya tidak berlaku di dalam negara ini tanpa pengetahuan kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terbabit di bawah KDN.

“Acara ini sepatutnya tidak berlaku di Malaysia kerana negara ini pro kepada Palestin bukannya Yahudi. Ini jelas ada pihak yang cuba membawa fahaman Yahudi ke dalam negara ini dengan menganjurkan acara sedemikian,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan “Jerusalem Jubilee” yang dijadualkan diadakan pada 15-18 Jun di Melaka, walaupun penganjur sudah memutuskan untuk membatalkan acara itu setelah mendapat bantahan orang ramai.

Gabungan NGO yang disertai MJMM, IRIMM, Gegas,Kipidap, ARC dan Reformis hari ini telah membuat laporan polis untuk menyatakan bantahan mereka terhadap pihak penganjur.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Hamsa Alla Pitchay pula berkata, laporan polis dibuat itu bagi menghalang segala bentuk penglibatan agen Yahudi dalam negara ini.

“Laporan polis ini dibuat kerana kami beranggapan pihak penganjur berniat jahat kerana terlebih dahulu mewarwarkan iklan dan poster acara itu di media sosial sedangkan belum lagi mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan dan pihak polis.

“Sebelum adakan sesuatu program perlu mendapatkan kebenaran baru sah untuk mengiklan poster mereka.

“KDN harus memanggil penganjur dan menyoal siasat niat sebenar mereka,” ujarnya.

Manakala Pengerusi Alif Ba Ta Ashima Kamaruddin mendakwa pihak penganjur tidak menghormati kuasa Yang Dipertuan Agong sebagai ketua agama negara.

“Kami membantah sikap tidak peka penganjur kerana tidak tunjuk rasa hormat kepada YDP Agung dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini kerana mereka pula seakan mahu mengiktiraf sebuah negara yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Kami menegaskan penganjuran ini boleh mencetuskan suasana kurang senang terhadap keharmoniam kaum dan agama dalam negara ini.

“Amat perlu dalang dalam penganjuran acara itu disiasat dan kami menuntut pihak Imigresen memantau kemasukan para pengkhutbah mereka ke negara ini, walaupun ia telah dibatalkan,” ujarnya.

Semalam dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) dipetik berkata acara itu adalah upacara sembahyang menghimpunkan penganut Kristian dari Malaysia dan Asia Pasifik, dan menafikan dakwaan Pas yang ia bertujuan mempromosi “Kristianiti Zionis” dan “Budaya Yahudi”.

- Utara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top