.... Masih Belum Mohon Maaf Kepada Sultan Selangor, NGO Kecam Sivarasa | AAKJ





Persatuan 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) menganggap R. Sivarasa seolah-olah berniat mengingkari titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila Ahli Parlimen Subang itu fahamkan masih belum mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kerana mengadakan program serta berucap di ruang solat Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, 24 Mei lalu.


Penasihatnya, Abdul Rahman Nordin berkata, sebagai seorang ahli politik di Selangor, Sivarasa harus menunjukkan rasa hormat terhadap Sultan Selangor yang merupakan Ketua Negeri selain mengakui kesilapan beliau secara rasmi di masjid berkenaan.

“Ini kerana tindakan Sivarasa yang memasuki ruang solat dan berucap di dalam masjid itu adalah jelas mengingkari titah Sultan Selangor sebelum ini yang melarang masjid dan surau di Selangor digunakan untuk tujuan politik.


“Titah baginda itu asasnya adalah untuk melindungi serta memastikan perpaduan di kalangan umat Islam terus utuh di negeri ini. Jadi kita harap Sivarasa ini janganlah membuat sebarang kenyataan yang hanya mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya beliau perlu memohon maaf secara rasmi kepada Sultan Selangor dan umat Islam secara keseluruhannya.

“Namun, setakat ini saya fahamkan Sivarasa tidak membuat sebarang permohonan maaf kepada Sultan Selangor, apakah beliau mahu mencabar dan ingkar kuasa baginda,” katanya kepada pemberita di sini hari ini yang turut disertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Alumni 4B Kota Raja, Kejiranan Rukun Tetangga Taman Sri Andalas, Empire of Port Klang, Putra Klang dan Persatuan Anak Pantai Timur (PERANTI).

Jumaat lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa sangat dukacita terhadap tindakan Sivarasa yang telah berucap dalam dewan solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang dekat sini, baru-baru ini.

Dalam titah itu, baginda telah banyak kali mengingatkan supaya masjid jangan dijadikan tempat untuk berpolitik sama ada oleh orang Islam sendiri atau orang bukan beragama Islam.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top