.... Malaysiakini Perlu Buktikan Rosmah Terima Hadiah Seutas Rantai Berlian Merah Jambu Bernilai RM116 Juta | AAKJ





Portal pro pembangkang Malaysiakini dilihat cuba memberi gambaran secara meluas bahawa Datin Seri Rosmah Mansor menerima hadiah rantai leher berlian merah jambu 22-karat yang dikatakan berharga AS$27.3 juta (RM116 juta) dari Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang merupakan pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Jynwel Capital Limited, sebuah firma penasihat pelaburan antarabangsa generasi ketiga yang berpangkalan di Hong Kong.

Ekoran dari tindakan yang tidak bertanggung jawab serta bertujuan menghasut tersebut, Malaysiakini didesak agar membuktikan bahawa Rosmah ada menerima rantai berlian merah jambu itu.

Masihkah anda ingat bagaimana Rafizi menuduh Rosmah membeli sebentuk cincin bernilai RM24 juta? Jacob & Co syarikat barangan kemas yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menafikan perkara tersebut. Satu video turut dimuat naik di youtube bagi menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya Rosmah membeli cincin bernilai RM24 juta.

Dalam sebuah wawancara itu, Pengarah Barangan Kemas Jacob & Co, Philip Nassimi berkata, Cincin 30.11 karat itu sebenarnya dibawa masuk ke Malaysia untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev, ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang bertunang dengan anak Rosmah, Nooryana Najwan.

Barangan yang dinilaikan pada harga US$8 juta itu dihantar pada 15 April, 2011,ke Kuala Lumpur, Malaysia dengan tujuan untuk pemeriksaan sahaja dan barangan yang sama kemudiannya dibawa semula ke Amerika Syarikat pada 16 Mei 2011.

Dokumen dari pihak Kastam Amerika dan Perlindungan Sempadan serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri membuktikan bahawa barangan itu dibawa masuk semula ke Amerika dan tidak dijual, Malah Rafizi turut mengakui dakwaan beliau terhadap Rosmah merupakan satu gurauan semata-mata.

Kini Malaysiakini bersama pemimpin pembangkang yang lain terutamanya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berganding bahu mengalunkan lagu yang sama dengan bantuan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Dalam saman setebal 251 halaman itu, tidak ada satu perkataan pun menyebut nama Rosmah ataupun Najib. Namun Malaysiakini bertungkus lumus berusaha sedaya upaya memandu cerita agar ianya memberi gambaran bahawa Rosmah terlibat dalam isu tersebut.

Malah Mahathir mencabar Rosmah menyaman DoJ kononnya kerana mengaitkan beliau dengan rantai leher berlian merah jambu 22-karat yang dikatakan berharga AS$27.3 juta (RM116 juta) sedangkan nama Rosmah langsung tidak disebutkan pun. Mahathir dilihat sebagai individu yang berusaha mengaitkan Rosmah dalam perkara ini dan secara tidak langsung mendedahkan beliau merupakan dalang disebalik kenyataan kedua DoJ tersebut.

Selepas semua cara tidak berjaya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib, pembangkang terdesak mengitar semula kaedah lama mereka dengan memfitnah semula Rosmah.

DOJ hanya mengaitkan secara tidak langsung istilah MO1 dengan individu-individu yang berurusniaga dengan syarikat 1MDB. DOJ tidak berani menyaman Najib atau Rosmah kerana mereka sendiri tahu kedua-duanya tidak terlibat. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan selamat dengan mencipta istilah MO1. Presiden Trump sendiri banyak bertentangan dengan DOJ seperti dalam isu hubungan sulit dengan Rusia dan isu kempen Presiden 2016 .

Malah Ahli Parlimen DAP, Dr. Tan Seng Giaw mempersoalkan mengapa media pembangkang membuat provokasi agar Perdana Menteri disiasat sedangkan tidak ada bukti-bukti yang Perdana Menteri terlibat. Bagi Dr. Tan Seng Giaw, yang perlu disiasat ialah pengurusan dan ahli lembaga pengarah 1MDB.

Pelbagai agensi telah menjalankan siasatan terhadap 1MDB, ini termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai oleh ahli parlimen pembangkang sendiri. Namun, dalam laporan jawatankuasa tersebut tidak tertulis sebarang penglibatan mana-mana individu yang disebut dalam saman DOJ tersebut.

Kini rakyat pula mendesak agar siasatan perlu dilakukan terhadap beberapa individu yang disyaki berkonspirasi dengan kuasa asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Desakan tersebut dilihat amat tepat dan kena pada masanya. Kita akan lihat siapa yang bakal panik bagai cacing kepanasan dan melakukan “U-Turn” lagi.
PRU14.tv

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top