.... Mahfuz : Wakil Rakyat Sabah, Sarawak Hipokrit | AAKJ





Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan wakil rakyat BN Sarawak dan Sabah sebagai hipokrit apabila secara tiba-tiba membantah Cukai Pelancongan yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, ahli parlimen BN dari kedua-dua negeri itu tidak bersuara sewaktu Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pelancongan 2017 dibahaskan pada April lalu.

“Sudah menjadi amalan apabila sesuatu perkara sebelum dibentang ke parlimen sudah tentu dibawa dahulu ke dalam Mesyuarat Kabinet.

“Apa peranan menteri-menteri dari Sarawak pada ketika itu? Adakah mereka semua menyokong secara membuta tuli semata-mata untuk membodek PM Najib?

“Setelah menyokong Akta Cukai Pelancongan tiba-tiba hari ini mereka membantah pula dan minta ditangguh serta dikecualikan Cukai Pelancongan ke atas Sarawak dan Sabah.

“Inilah sikap hipokrit Barisan Nasional Sarawak dan Sabah. Barisan Nasional Sarawak dan Sabah sedang bersandiwara untuk menunjukan mereka hero kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Keputusan berkenaan diumum sehari selepas Nazri menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri “setahun jagung”.

Kenyataan Nazri itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut menyebut mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, walaupun beliau tidak menyokong pelaksanaan cukai tersebut namun tindakan kerajaan negeri Sarawak menarik diri itu dianggap sangat memalukan.

“Tidak wajar untuk mereka luahkan kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap Menteri Pelancongan kerana kelancangan mulutnya.

“Saya juga tidak bersetuju atas kelancangan mulutnya tetapi apa yang perlu dipersoalkan kenapa menteri-menteri dari Sarawak dan Sabah sendiri yang bersetuju dibawa untuk kelulusan di Parlimen.

“Begitu juga dengan sikap Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah yang diam membisu semasa perbahasan malah tampil untuk mengundi bersetuju dengan akta tersebut bagi dikenakan Cukai Pelancongan,” katanya.

Nazri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, Cukai Pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

- Utara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top