.... Kerajaan P.Pinang Terlebih Bayar Atau Terlebih ‘Songlap’? | AAKJ





Kerajaan Pulau Pinang perlu berhenti menafikan yang mereka sudah membayar secara berlebihan dan tinggi bayaran perunding tiga lebuh rayanya sepanjang 20 kilometer (km) yang masih pun belum mula dibina di negeri itu.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC), Datuk Eric See-To Choong, berkata ini kerana pada sidang media Sabtu lalu, EXCO negeri, Chow Kon Yeow ada mengesahkan berlakunya terlebih bayar sebanyak 17.6 peratus.

Katanya, biarpun Kon Yeow menafikan ia bukan 400 peratus terlebih bayar sebagaimana perkiraan dibuat Lembaga Jurutera Malaysia dan turut dinyatakan Menteri Kerja Raya, namun beliau juga mengesahkan, bayaran RM177.5 juta itu termasuk bayaran bagi kerja lain.

“(Beliau) menyenaraikan 10 kerja (lain) berkenaan iaitu perunding bagi kerja sivil dan struktur; ukur tanah; Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA); reka bentuk terowong; reka bentuk seni bina; reka bentuk mekanikal dan elektrikal; pengurusan projek; kajian impak sosial; kajian impak trafik dan kajian kebolehlaksanaan kewangan dan pembiayaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas semakan dan rujukan dari pelbagai pihak, pihaknya mendapati senarai didedahkan itu adalah komponen sampingan saja.

“Kajian kebolehlaksanaan itu, di mana tambahan bayaran sebanyak RM31.2 juta sudah dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang dan berasingan dari fi RM177.5 juta, sudah tentu mencakupi ukur tanah, kajian impak trafik dan kebolehlaksanaan kewangan,” katanya.

Choong berkata, bayaran reka bentuk terperinci yang menjadi tumpuan kepada bayaran terlebih sebanyak 400 peratus itu, sudah tentu merangkumi perunding kerja sivil dan struktur, reka bentuk terowong, reka bentuk seni bina serta reke bentuk mekanikal dan elektrikal.

“Kajian DEIA sepatutnya mencakupi kajian impak trafik. Bagaimanapun, kami dapati bayaran DEIA berkenaan tidak termasuk dalam skop kajian kebolehlaksanaan dengan kos RM31.2 juta dan reka bentuk terperinci. Ia sepatutnya adalah bayaran berasingan.

“(Kos ini) dinyatakan dengan jelas pada lampiran 11 Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerajaan Pulau Pinang bagi pembinaan Terowong RM6.34 bilion dan tiga lebuh raya,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan kerajaan Pulau Pinang mendalami Akta Pendaftaran Jurutera 1967 bagi memastikan skop khidmat kejuruteraan yang mencakupi skala bayaran dan mengambil kira pendedahan dibuat Lembaga Jurutera Malaysia serta Menteri Kerja Raya, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan tidak betul dan alasan tidak munasabah.

Beliau juga meminta kerajaan Pulau Pinang merujuk prestasi kewangan syarikat tujuan khas (SPV) yang dianugerahkan projek RM6.34 bilion itu, di mana RM209 juta sudah dibayar dalam bentuk bayaran bagi tiga lebuh raya sepanjang 20 kilometer.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top