.... Kerajaan Negeri Selesai Isu Nazri | AAKJ





Isu membabitkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Negeri Sabah telah selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah diputuskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Oleh itu, kata beliau, tiada lagi kenyataan dikeluarkan oleh sama ada pemimpin Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.

“Dengan apa yang diputuskan oleh Kabinet semalam, isu ini dapat diselesaikan.

“Secara peribadi, saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak dan Sabah semalam dan kita telah tutup buku lama dan buka buku baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Warshah Islah Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Pendidikan Agama Islam (Lepai) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa kerajaan supaya menangguh pelaksanaan cukai pelancong di Sabah dan Sarawak kerana khuatir cukai baharu itu akan membawa kesan kepada industri pelancongan.

Gesaan menteri baharu Sarawak itu diselar Mohamed Nazri yang menganggap Abdul Karim sebagai menteri ‘setahun jagung’ dan diminta tidak berlagak samseng.

Mohamed Nazri baru-baru ini memaklumkan, pelaksanaan cukai pelancongan akan tetap diteruskan bermula 1 Julai ini yang menyaksikan pelanggan membayar sehingga RM20 satu malam untuk sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang.

Isu cukai pelancongan menjadi perbahasan apabila ada pihak yang meminta cukai tersebut hanya dikenakan kepada pelancong asing dan tidak melibatkan pelancong tempatan.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top