.... Kebiadaban The Star, Cukupkah Sekadar Surat Tunjuk Sebab? | AAKJ





Sukar untuk dipercayai sebuah konglomerat media yang berakar umbi dalam sebuah negara pelbagai bangsa dan agama sejak puluhan tahun lama sering kali membuat kesalahan-kesalahan ‘fatal’ apatah lagi sesuatu yang bersifat menghina dan mempersendakan agama dan kepercayaan sesuatu kaum, khasnya Islam. 

Khasnya Islam kerana Islam adalah satu-satunya agama yang disebut dan diangkat gah perlembagaan negara kita. Perkara 3(1) dengan jelas memaktubkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan. Bahagian manakah editor-editor yang berbelas orang ramai (pelbagai bidang) di Star Media Group tidak faham? Adakah puluhan ribu ringgit, kalau pun tidak ratusan ribu ringgit, gaji yang diterima sebulan esekutif-esekutif kanan sebuah empayar media terbesar negara, dengan aset dan jualan tahunan berbillion ringgit banyak jumlahnya, masih tidak mampu memastikankan sekumpulan warga kerja sebuah kumpulan media untuk mengamalkan tahap profesionalisme tertinggi demi menjaga kepentingan dan kelangsungan kumpulan media mereka?

Kita sememangnya tidak sekali-kali akan lupa kes-kes seperti ‘Tatu Kalimah Allah-Erykah Badu’, tulang rusuk babi bakar sebagai Ramadan’s Delights, penghinaan dengan meng-Almarhum-kan Ayahanda Baginda DYMM Yang Di-Pertuan Agong ke-15 dan yang terkini aktiviti umat Islam bersolat terawih dijuktapos dengan headline jahat ‘Malaysian terrorist leader’.

Mungkinkah media tersebut secara bawah sedar cuba bermain dengan minda kita semua bahawa pengganas ada dikalangan mereka-mereka yang sedang bersujud itu? Ini bahasa media. Tentunya sebuah empayar media yang berpengalaman puluhan tahun lama seperti Star Media Group faham akan ini untuk sekurang-kurangnya mempraktikan displin tertinggi supaya insiden ini tidak sesekali berlaku. Supaya Muslim tidak terasa hati dan marah lagi? Setelah tiga kali insiden sebelum ini?

Dan acapkali itu juga para editor akhbar tersebut memohon maaf kerana kurang arif, tidak celik, kurang maklum, tidak tahu, terlepas pandang, tidak sengaja, tidak berniat jahat dan setiap kali itu juga kita diminta untuk terima bulat-bulat alasan dangkal yang diberi. Lalu kita pun melayan isu ini sebagai ‘business as usual’ dan akhbar tersebut terus-menerus mengaut keuntungan beratus juta ringgit dan para esekutif kanan dan para editor dibayar bonus empuk sambil sekali-sekala terlepas penghinaan demi penghinaan yang dibuat ke atas salah satu kelompok khalayak pembacanya.

Cukupkah dengan hanya ‘Surat Tunjuk Sebab’? Umat Islam rata-rata sudah mengambarkan sikap tidak percaya bahawa pihak berwajib bakal mengambil sebarang tindakan. Ada yang sangat pesimis, awal-awal lagi mengatakan tidak ada apa-apa tindakan yang bakal diambil. Ada yang mendakwa bahawa masa 7 hari yang diberikan mungkin untuk membeli masa supaya para Muslim yang sedang berpuasa, sejuk dan lupa akan kejahatan dan penghinaan yang telah dibuat. Setelah tiga kali berlalu begitu saja, bolehkah kita salahkan sikap pessimistik mereka?

Tentunya kita sedikit gembira apabila pihak Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa pihak The Star sedang disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 dan juga Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Sememangnya ‘perbuatan’ mereka yang telah menghina dan seolah-olah menghasut supaya Islam dan Muslim dibenci kerana menjadi ‘punca’ keganasan bakal menganggu-gugat keharmonian dan menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat Malaysia sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil.

Cumanya kita berharap ianya tidak terhenti setakat itu. Kita harus menunjukkan teladan yang baik kepada kelompok masyarakat kita bahawa ‘kesilapan’ yang dibuat kali ini bukanlah yang pertama, dan bukan juga yang kedua, dan ketiga dan sememangnya perlu diberikan pengajaran yang amat setimpal. Kita bertanggungjawab untuk mengajar warganegara kita bahawa jika sesuatu itu menyalahi undang-undang, tindakan yang setimpal mesti dikenakan. Tidak dapat tidak. Tidak kira sebesar dan berpengaruh mana empayar media tersebut.

Cuba bayangkan kalau kita gagal lagi?

- menara.my


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top