.... Kebebasan Bersuara Kami Dihalang | AAKJ





Kecewa dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menghalang kebebasan bersuara untuk ah­linya, Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hafiz Azhar tidak menolak kemungkinan untuk keluar daripada parti itu.

Muhammad Hafiz berkata, jika dia bertindak meninggalkan parti tersebut, lebih 1,000 ahli PPBM yang selama ini menyokongnya juga akan bersama-sama meninggalkan parti yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Katanya, dia kesal dan kecewa apabila ahli keluarga termasuk beliau dihentam teruk di media-media sosial setelah meminta penjelasan mengenai kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusi PPBM dan juga skandal Nika Ghee yang didakwa membabitkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya kesal apabila salah memilih perjuangan kerana saya sangkakan PPBM sebuah parti yang memberikan kebebasan untuk bersuara kepada anak muda tetapi sangkaan saya silap.

“Saya ada terfikir untuk me­ninggalkan parti, tetapi saya perlu bincangkan dengan rakan-rakan terlebih dahulu mengenai hal ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini Muhammad Hafiz yang juga Pengerusi Biro Keselamatan Armada meminta Muh­yiddin tampil dan membersihkan nama dengan menafikan tuduhan skandal bersama seorang wanita.

Beliau juga mahu Dr. Mahathir menjelaskan mengenai kekayaan luar biasa anak-anaknya.

Disebabkan tindakannya itu, Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu Muhammad Hafiz dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

Menurut Muhammad Hafiz, tindakan tentera siber yang menghentamnya selepas bertanyakan soalan kepada kepimpinan PPBM juga menunjukkan parti itu tidak mengotakan janji dalam memberikan kebebasan bersuara kepada golongan muda.

“Apabila soalan ditanya kepada pimpinan, saya dituduh pemakan dedak UMNO sedangkan soalan yang ditanya dibiarkan tanpa sebarang jawapan.

“Kepada anak muda yang mahu memilih PPBM sebagai landasan perjuangan mereka, saya nasihatkan lihat apa yang terjadi kepada saya terlebih dahulu sebelum mereka memilih parti ini,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top