.... Kastam Dakwa Radar Tidak Hilang | AAKJ



PUTRAJAYA – Misteri kehilangan peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah di Johor baru-baru ini menimbulkan tanda tanya selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendakwa barangan tersebut telah sampai ke Belanda.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T. Subromaniam berkata, kontena tersebut tidak hilang sebaliknya telah tiba ke destinasi yang dituju iaitu Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

Katanya, bagaimanapun pihak JKDM sedang menjalankan siasatan mengenai pematuhan prosedur operasi stan­dard (SOP) yang dilakukan oleh pihak berkaitan ketika melepaskan dagangan tersebut yang tidak mempunyai permit untuk disimpan di negara ini.

“Siasatan sedang dijalankan oleh JKDM sebenarnya lebih menjurus kepada pematuhan SOP dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Per­dagangan Strategik (STA) 2010,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau menafikan laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang mendakwa
radar ketenteraan tersebut telah hilang selepas dihantar secara rahsia ke Belanda.

Kontena berisi peralatan radar itu disyaki dibawa dari Australia ke Belanda namun melakukan transit di PTP.Namun ia ditahan JKDM selepas tidak mempunyai permit untuk disimpan di negara ini.

Sementara itu di Johor, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ)dalam satu kenyataan semalam memaklumkan penghantaran kontena berisi peralatan radar tentera itu dikawal rapi pihaknya.

Menurut Pengurus Besar LPJ, Muhammad Razif Ahmad,kontena tersebut dihantar ke Belanda menggunakan kapal Emma Maersk pada 3 Jun lalu.

Bagaimanapun di Johor Bahru semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada pihak PTP berhubung kehilangan barangan sistem peralatan radar ketenteraan di pelabuhan
tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan radar itu pada 13 Jun lalu selepas dibuat oleh
pihak PTP.

“Saya sahkan bahawa kami ada menerima satu laporan polis daripada pihak PTP pada 13 Jun lalu berhubung kehilangan barangan (radar ketenteraan) berkenaan.

“Kami turut difahamkan ketika ini Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), PTP dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya semalam.-KOSMO 30 JUN 2017 MUKA SURAT 17



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top