.... Jenazah Dua Juruterbang TUDM Disembahyang Di Surau Al-Taqwa Pangkalan Udara Kuantan | AAKJ





Jenazah dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas melibatkan pesawat pejuang jenis Hawk 108 disembahyang di Surau Al-Taqwa Pangkalan Udara Kuantan, di sini pagi ini.

Jenazah Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, disembahyangkan terlebih dahulu kira-kira pukul 7.15 pagi diikuti jenazah Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Lebih 200 ahli keluarga, rakan-rakan dan anggota TUDM hadir untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah tersebut yang diimamkan oleh Pegawai Agama Pangkalan Udara Kuantan, Mejar Mohd. Zaki Kassim.

Terdahulu, jenazah Mejar Mohd. Hasri dan Mohd. Yazmi tiba di surau itu pada pukul 5.45 pagi selepas selesai bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Jenazah mereka dibawa dengan dua van jenazah diiringi anggota polis trafik, kenderaan rasmi TUDM dan kenderaan angggota keluarga mangsa.

Jenazah mereka kemudian dimandi dan dikafankan di surau berkenaan.

Dari pangkalan udara tersebut, jenazah Mohd. Hasri diterbangkan menggunakan helikopter Eurocopter EC725 ke Padang Awam Felda Lui Muda, Negeri Sembilan bagi urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda.

Jenazahnya dijangka tiba di padang awam berkenaan pada pukul 8.30 pagi ini.

Jenazah Mohd. Yazmi pula akan diterbangkan ke Pangkalan TUDM Subang dan dijangka tiba pada pukul 9.15 pagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Mayat Mohd. Yazmi dan Mohd. Hasri Zahari, 31, ditemukan pada pukul 2.30 petang semalam di kawasan semak dan berpaya di Chukai, Terengganu iaitu kira-kira 54 kilometer dari Pangkalan TUDM Kuantan.

Mereka berlepas dari pangkalan berkenaan untuk melakukan latihan penerba­ngan pada pukul 11 pagi sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan 30 minit kemudian. 

–UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top