.... Isu Menteri ‘Setahun Jagung’, Pemuda BN Sarawak Bidas Nazri | AAKJ





Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof membidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz kerana mengeluarkan kenyataan yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga menteri kerja raya merujuk kepada kenyataan Nazri semalam yang menyifatkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai sebagai menteri ‘setahun jagung’.

Ini berikutan gesaan Abdul Karim baru-baru ini agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

“Pemuda BN Sarawak mengecam kenyataan Nazri terhadap Abdul Karim yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

“Tindakan melabelkan menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

“Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Nazri berkata, Abdul Karim tidak memahami perkara itu apabila mengatakan cukai berkenaan seharusnya menjadi urusan negeri.

“Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah,” kata Nazri kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa di Dataran Merdeka.

Sambil menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan, Nazri berkata kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak.

“Dia menteri baru, dia menteri BN, janganlah nak tunjuk lagak sangat. Jumpa saya, saya pun menteri BN.

“Saya jadi menteri bukan setahun dua, banyak tahun dah. Apa-apa hal kita sama-sama kerajaan. Di Sarawak tu kerajaan BN, federal pun BN..Jumpalah saya. Awak ni baru lagi, setahun jagung. Jangan cakap banyaklah,” kata Nazri lagi.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, ia harus dilakukan secara baik dan berhemah, bukannya dengan memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama.

“Pemuda BN Sarawak berpendirian bahawa semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

“Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara,” jelasnya.

Tindakan melabelkan sebagai ‘samseng’ juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB, tambahnya yang juga ketua Pemuda PBB.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top