.... Ingkar Titah Sultan Selangor, Sivarasa Akui Pekara Itu | AAKJ





Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa akhir­nya mengakui telah menging­kari titah Sultan Selangor, Sul­tan Sharafuddin Idris Shah yang melarang sebarang bentuk aktivi­ti politik diadakan di masjid dan surau di negeri ini.

Selain memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin di sebalik tindakannya berucap di ruang solat Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang sebelum ini, Sivarasa turut menyatakan beliau telah mene­liti serta memahami titah baginda mengenai larangan tersebut yang tertakluk kepada semua ahli politik, Islam atau bukan Islam.

“Pada 5 Jun lalu, saya telah menyerahkan sepucuk surat peribadi kepada Sultan Sela­ngor bagi menjelaskan apa yang berlaku sewaktu majlis pemberian sumbangan di Masjid An-Nur, 24 Mei lalu. Dalam surat itu, saya menjelaskan kepada Tuanku bahawa ucapan saya di dalam masjid berkenaan bukan satu ceramah atau ucapan politik.

“Walau bagaimanapun, saya telah meneliti titah Tuanku yang dibuat di Masjid An-Nur Temasya, Glenmarie pada 2 Jun lalu yang mana baginda menjelaskan arahan dan peringatan bahawa mana-mana ahli politik baik beragama Islam mahu pun bukan tidak boleh memberi apa-apa ceramah atau ucapan di dalam atau di luar masjid.

“Maka, adalah jelas saya telah mengingkari arahan ini dengan membuat ucapan ringkas di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang. Justeru, dalam surat itu, saya telah memohon maaf kepada Tuanku atas kesilapan saya ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi WhatsApp di sini hari ini.

Jumaat lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa murka baginda apabila menyifatkan Sivarasa telah melampaui batas kerana mengadakan program politik serta berucap di ruang solat utama masjid berkenaan, 24 Mei lalu.

Titah baginda, larangan menggunakan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik di Selangor telah ditegaskan berulang kali sebelum ini sama ada melibatkan orang Islam dan bukan Islam bagi menge­lakkan ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini mengakui perkara itu dan menghantar sendiri surat peribadi Sivarasa kepada Sultan Selangor.

“Saya fikir beliau (Sivarasa) telah membuat keputusan yang terbaik. Saya telah mengadakan perbincangan dengannya dan beliau telah menulis sepucuk surat peribadi dan meminta saya menyampaikan kepada Sultan Selangor.

“Saya telah sampaikan surat itu dua hari lalu. Saya sendiri tidak tahu apa kandungan surat berkenaan, namun saya yakin beliau mengambil keputusan yang tepat kerana beliau me­ngakui insiden itu berlaku atas ketelanjurannya,” ujarnya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top