.... Individu Rakus, Meminta Jawatan Tidak Diterima PAS | AAKJ





Presi­den Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu menyambung perjuangan Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan menolak individu yang rakus serta meminta-minta jawatan.

Perkara itu ditegaskan oleh Abdul Hadi menerusi kenyataan beliau yang memetik hadis Rasulullah SAW: “Demi Allah! Aku tidak melantik orang yang meminta jawatan atau rakus mahukan jawatan.”

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan tentang sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Di antara kemusnahan umatku di akhir zaman apabila jawatan menjadi pe­mimpin dianggap peluang untuk diri, keluarga dan kroni”.

“Namun, Islam tetap mewajibkan adanya pemimpin bernama raja atau mengikut zamannya. Allah memuji dalam al-Quran tentang Nabi Daud a.s. menjadi khalifah, Nabi Sulaiman a.s. menjadi raja dan Zulqarnain bukan nabi menjadi raja, semua mereka berlaku adil,” katanya menerusi kenya­taan bertajuk ‘Siapa Perdana Menteri selepas ini?’ hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, ketika parti-parti yang sedang berjuang menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) begitu galak menamakan calon Perdana Menteri, Pas pula tidak mencalonkan sesiapa.

Beliau secara sinis berkata, dahulunya ada pemimpin jadian dalam parti itu yang ‘berwirid’ dengan nada serupa tetapi kini telah pun meninggalkan Pas.

“Pas jangan terpengaruh dengan budaya politik lain daripada Islam. Al-Marhum Nik Abdul Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah menegaskan bahawa kita wajib terima sesiapa sahaja yang menerima Islam walaupun dia bukan Pas,” jelas beliau.

Isu calon Perdana Menteri menjadi perkara yang hangat diperkatakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top