.... Guan Eng Dicabar Lapor SPRM | AAKJ





Ketua Menteri, Lim Guan Eng didesak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menjual tanah pada harga RM1 dan RM20 sekaki persegi.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, tindakan itu bagi membuktikan dakwaan dibuat Guan Eng itu adalah benar, bukannya ke­nyataan tidak berasas dan bertujuan mencemar imej kerajaan BN.

Menurut beliau, tindakan Guan Eng yang berterusan membangkitkan isu itu tanpa me­nunjukkan sebarang bukti hanya mengelirukan penduduk negeri ini apatah lagi dakwaan tersebut dibantah parti Gerakan negeri.

“Segala dakwaan yang dibuat Guan Eng itu perlu dikemukakan dengan dokumentasi sahih kerana penduduk negeri ini berhak mengetahui perkara sebenar memandangkan melibatkan tanah rakyat.

“Sehubungan itu, beliau perlu berani membawa perkara tersebut kepada SPRM supaya satu siasatan telus dapat dijalankan, bukan setakat membangkitkannya di media semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk menyaman Guan Eng yang berterusan mengelirukan rakyat dengan menyeleweng fakta berhubung projek tambak laut Seri Tanjung Pinang dan Lebuh Raya Jelutong di sini.

Menurut Baljit, dakwaan Guan Eng kononnya tanah itu dijual pada harga RM1 dan RM20 sekaki persegi memberi persepsi buruk kepada kerajaan BN terdahulu sedangkan transaksi tersebut merupakan satu bentuk konsesi tambakan laut.

Sementara itu, Rahmad turut mengalu-alukan tindakan undang-undang yang mahu diambil Gerakan terhadap Guan Eng berhubung isu terbabit yang disifatkan mampu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat.

Menurut beliau, pertikaian isu terbabit perlu dimuktamadkan menerusi saluran mahkamah dengan segera bagi mengelak tanah rakyat terus dijadikan modal ‘sandiwara’ politik.

“Sedangkan pada akhirnya, penduduk negeri ini juga yang terpaksa menanggung kerugian kerana sedikit demi sedikit, tanah yang sepatutnya memberi manfaat kepada mereka dinikmati oleh pemaju swasta,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top