.... Bila Berada Di Kerusi Selamat Ingatlah Rakan... | AAKJ





Program rakyat yang diaturkan oleh parti kerajaan termasuklah UMNO bahagian di sesuatu kawasan sering berjalan lancar. Sambutannya cukup memberangsangkan.

Tetapi ada ketikanya tiba-tiba pula ‘dipukul’ oleh dek tutur kata atau reaksi kurang menyenangkan daripada rakan-rakan komponen atau parti sendiri terhadap isu tertentu.

Bila ungkapan kontroversi atau perlakuan provokatif itu sudah dipetik portal pembangkang serta dimuat naik dalam Facebook atau aplikasi WhatsApp sehingga tular, ‘nasi sudah jadi bubur’.

Ini sekali gus menyemarakkan lagi sentimen atau persepsi daripada pihak tertentu terutama pembangkang untuk memutarbelitkan keadaan.

Hal ini turut menarik perhatian Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar).

Menggalas tanggungjawab berat untuk mengembalikan kerusi Parlimen Lembah Pantai, Raja Nong Chik mengakui ada ketikanya beliau ‘pening’ dengan gelagat sebilangan rakan-rakan ADUN atau Ahli Parlimen dari kawasan tertentu yang ‘terlajak’ berbicara.

“Mereka saya pasti sedar betapa cepatnya kenyataan kontroversi yang diluahkan menjadi tular dalam laman sosial.

“Dia barangkali tentulah selamat di kawasan yang disandangnya. Tapi bagaimana pula dengan nasib rakan-rakannya di kawasan lain termasuklah kerusi bandar yang banyak cabarannya seperti Lembah Pantai ini.

“Akibat isu yang tular daripada kontroversi tadbir urus dan kenyataan provokatif itulah yang menghimpit jentera BN di bandar,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Tanpa merujuk kepada sesiapa, Raja Nong Chik mendedahkan ada ketikanya semasa turun padang, beliau diasak oleh penduduk setempat di Lembah Pantai akibat persepsi yang dimainkan pembangkang.

“Anda orang yang baik tetapi anda mungkin tersalah parti kata mereka yang saya pasti te­lahan itu timbul dari gelagat sebilangan rakan-rakan saya yang kurang sabar memberi komen tanpa memikirkan orang lain,” katanya lagi.

Kawasan Parlimen Lembah Pantai yang disandang PKR setakat suku ketiga 2016 memiliki 76,914 pengundi berdaftar dengan kira-kira 56,000 adalah orang Melayu.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top