.... Bekas Pimpinan Tertinggi PKR : Mahathir Tidak Perlu Berangan Jadi PM | AAKJ





Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu berangan untuk menjadi Perdana Menteri semula kerana parti pimpinannya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya memiliki satu kerusi Par­limen, sekali gus tidak layak untuk menuntut jawatan tersebut.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, Pakatan Ha­rapan yang diketuai DAP masih belum ketandusan pemimpin yang sudah lama berjuang da­lam arena politik tanah air, oleh itu, barisan pemimpin dalam kalangan PKR, DAP dan PAN sepatutnya diberi keutamaan untuk mengisi jawatan berke­naan, selain menganggotai men­teri-menteri Kabinet.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh lebih layak untuk menjadi Perdana Menteri ketujuh berbanding Dr. Mahathir jika Pakatan Harapan menang sebab PKR mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada PPBM.

“PPBM perlu sedar (realiti tersebut), maka kenyataan Dr. Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula adalah sesuatu yang melucukan dan hanya menggambarkan kerakusannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PPBM itu dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebooknya mengakui bahawa beliau berkemungkinan terpaksa mempertimbangkan menjadi Perdana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepe­mimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

Pengakuan Dr. Mahathir itu menimbulkan lagi kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan memandangkan Konvensyen Nasional PKR bulan lalu telah membuat penegasan mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

Sebelum itu, nama Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menerajui PKR juga pernah di­sebut sebagai calon Perdana Menteri selain nama bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan tidak terkecuali pemimpin PAN, Mohamad Sabu.

Badrul Hisham atau Che­gubard yang juga Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, selaku Pre­siden PKR dengan rekod integriti serta berpengalaman luas selama ini, Wan Azizah sememangnya calon paling sesuai untuk memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dalam Kabinet bayangan Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala Mohamad atau Mat Sabu akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

“Dr. Mahathir belum tentu menang bertanding, tetapi su­dah berangan menjadi Perdana Menteri semula. Beliau perlu terlebih dahulu isytihar mahu bertanding di kawasan mana. Beliau dijangka kalah sekali pun bertanding semula di Kubang Pasu,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top