.... Bawa Daging Lembu Dalam Beg, Hafiz Quran Maut Ditikam | AAKJ



New Delhi – Seorang remaja Islam telah ditikam sampai mati dan beberapa orang lain cedera parah di dalam sebuah kereta api di Haryana, India pada malam Khamis. 

Sekumpulan muslim telah diserang selepas orang ramai mendakwa mereka membawa daging lembu di dalam beg, kata laporan berita. 

Insiden berlaku ketika lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli-belah untuk menyambut Eidulfitri di Delhi. 

Pada mulanya, perbalahan itu berlaku antara tempat duduk sahaja tetapi berubah menjadi besar dan mencetuskan kekacauan, lapor Hindustan Times. 

Laporan itu menyatakan si mati sebagai Hafiz Junaid yang juga merupakan seorang huffaz al-Qur’an. 

Jumaat lalu, pihak Polis telah menangkap seorang suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian ini dan tertuduh telah mengakui terlibat dengan jenayah tersebut. 

Menurut pihak polis, kumpulan itu terdiri dari 15-20 orang yang menaiki kereta api Mathura. 

Pertengkaran itu mempunyai unsur perkauman, mereka dilaporkan telah menggelar keluarga Islam itu sebagai “anti-nasional” dan “pemakan daging lembu” sebelum membaling kopiah mereka ke lantai, memegang janggut mereka dan mengejek mereka dengan kata-kata cacian. 

Sabtu lalu, salah seorang suspek yang tertuduh dalam kejadian itu memberitahu media bahawa dia menyesal dengan apa yang terjadi kerana dia berada di bawah pengaruh alkohol pada malam Khamis itu. 

Seorang lagi mangsa, Mohsin, berusia 18 tahun, berkata semua kejadian ini berlaku di depan mata anggota Polis Keretapi Kerajaan (GRP) di stesen keretapi Ballabgarh Haryana, tetapi mereka enggan membantu. 

“Untuk menyelamatkan diri, kami telah menghubungi pihak polis dan nombor kecemasan tetapi tidak ada tidak balas,” katanya. 

GRP di balai polis Ballabgarh, Surat Pal, mengakui bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan empat pemuda tersebut kerana terdapat ramai orang di stesen tersebut, menurut The Times of India. 

“Salah seorang daripada mereka, Mohsin, memanggil ambulans apabila adiknya ditikam. Perkara-perkara seperti ini sering berlaku. 

Setiap kali ada rusuhan atau perbalahan, perkara-perkara seperti ini berlaku dan mereka berbalah mengenai perkara-perkara yang berunsur perkauman, tetapi kita tidak boleh berbuat apa-apa,” laporan itu memetik kata-kata Pal. Junaid adalah pelajar pengajian Islam di Surat, Gujarat, bersama adik lelakinya, Hashim, 20. 

Selain itu, yang tercedera adalah Mohsin, 16, Moin, 18, dan kakak Junaid, Sakir, yang juga didakwa ditikam dan dimasukkan ke All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), menurut Hindustan Times. 

Upacara pengebumian Junaid dilaksanakan pada hari Jumaat. Laporan Times of India juga memetik kata-kata Menteri Kesatuan M Venkaiah Naidu, yang mengutuk kejadian itu. 

“Tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk melanggar undang-undang. Walaupun terdapat khabar angin, tiada siapa yang berhak melakukan hal seperti ini. Agensi-agensi yang ada perlu ambil perhatian dan lihat siapa yang menjadi dalang disebaliknya,” katanya. 

Pembunuhan dan penindasan umat Islam di India semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini selepas pelantikan Narendra Modi sebagai Perdana Menteri India. Jenayah perkauman dan antara agama menjadi tidak terkawal dan pihak berkuasa masih belum menjalankan langkah-langkah pro aktif bagi membendung jenayah kemanusiaan di atas nama agama dan perkauman di India. 

Sebagai sebuah negara demokrasi terbesar dunia, insiden demi insiden penindasan ini, sedikit sebanyak mencalarkan imej India yang kini sedang pesat membangun memberikan saingan ekonomi dicelah-celah kejatuhan negara kuasa besar dunia yang lain.



menara


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top