.... 1MDB : Tiada Bukti, Barang Kemas MO1 Hanya Sekadar Cerita | AAKJ





Barangan kemas yang didakwa diterima oleh isteri Malaysia Official 1 (MO1) hanya sekadar cerita dalam aduan, tetapi tiada bukti ia dibeli menggunakan wang dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa dicuri.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sehingga kini tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1.

“Ia juga tidak disenaraikan sebagai aset yang hendak diambil alih oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS).

“Segala ini membuktikan DoJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu berkenaan barangan kemas ini dan dakwaan terhadap isteri MO1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, masih belum terbukti barang kemas tersebut dibeli menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB atau hasil daripada kegiatan jenayah atau penggubahan wang haram.

“DoJ perlu membuktikan kes mereka dan memenangi perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum mengambil alih sebarang aset yang disenaraikan dalam saman sivil ke atas Kumpulan Hotel Viceroy.

“Kes belum berjalan lagi dan saman ini baru sahaja difailkan,” ujarnya.

Jelasnya, seperti yang dinyatakan oleh DoJ, aduan melucut hak sivil hanyalah sekadar dakwaan yang menyebut bahawa terdapat wang atau harta yang terlibat atau merupakan hasil dari perlakuan jenayah.

“Dakwaan-dakwaan ini belum terbukti benar sehingga mahkamah membuat penghakiman yang memihak kepada AS,” katanya.

Tindakan model Miranda Kerr memulangkan barang kemas kepada DoJ juga dipertikai Tun Faisal.

“Adakah Kerr berpandangan DoJ akan menjualnya dan wang hasil jualan tersebut dipulangkan kepada 1MDB. Jika pun Kerr mahu memulangkan barangan kemas itu, ia harus diberikan kepada si pemberi, bukan kepada DoJ.

“Lagipun jika bersandarkan dokumen saman sivil yang difailkan oleh DoJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy ini, dana yang didakwa diselewengkan untuk membeli barangan kemas tersebut secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB, tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi,” katanya.

Terdahulu Kerr memulangkan barang kemas bernilai ASD8.1 juta (RM35 juta) kepada DoJ.

Ini berikutan tuntutan DoJ dalam saman sivil yang difailkan AS berhubung barang kemas yang diberikan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB.

Sebelum Kerr, bintang ternama Hollywwod Leonardo DiCaprio turut memulangkan Oscar yang dimenangi oleh Marlon Brando kepada penyiasat AS susulan siasatan pengubahan wang haram terhadap 1MDB.

Selain Oscar, DiCaprio juga memulangkan barangan yang dikatakan diterimanya sebagai hadiah untuk lelongan kebajikan daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Menerusi saman sivil AS, penerbit Red Granite didakwa menggunakan RM100 juta yang menurut pendakwa dilencongkan daripada dana 1MDB kepada filem DiCaprio pada 2013 bertajuk The Wolf of Wall Street.

DiCaprio memberikan kerjasama kepada siasatan itu dan akan memulangkan sebarang hadiah atau sumbangan jika didapati berpunca daripada sumber dipersoalkan.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top