.... Wakil Rakyat PKR Bukan Islam Ceramah Dalam Masjid Buat Sultan Selangor Murka | AAKJ





Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa teramat murka dan dukacita dengan tindakan Ahli Parlimen Subang dari PKR, R. Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada minggu lalu dan menggunakan ruangan solat sebagai tempat berpolitik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, baginda telah bertitah kepada Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani supaya mengarahkan JAIS mengmbil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid tersebut.

Menurut beliau, rasa teramat murka Tuanku itu juga dizahirkan sebanyak dua kali secara peribadi kepadanya.

“Kita telah memanggil nazir berkenaan pada Jumaat lalu untuk menjelaskan berhubung kejadian tersebut dan telah menyembahkan laporan tersebut kepada baginda pada Isnin(semalam). Bagaimanapun, setelah membaca laporan ini, baginda menzahirkan rasa teramat murka dan pada Tuanku, Sivarasa tidak menghormati titahnya bahawa ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan atau mengambil kesempatan dalam ruangan solat.

“Oleh itu, kita akan memanggil lagi sekali nazir berkenaan selewat-lewatnya minggu ini untuk diberikan surat tunjuk sebab mengapa membiarkan Sivarasa berucap dalam institusi masjid.

“Mereka harus ingat bahawa nazir yang tidak menghormati titah Tuanku boleh diambil tindakan sama ada diberi amaran, digantung atau dipecat mengikut Peraturan Kawal Selia Masjid Selangor,” katanya kepada pemberita pada majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Kampung Sementa, Kapar Klang di sini malam ini.

Semalam, Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohd. Adzib Mohd. Isa ketika berucap semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam semalam menegaskan pihaknya memandang serius isu pengunaan masjid dijadikan sebagai pentas untuk meraih sokongan politik.

Beliau membacakan ucapan tersebut di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada masa sama, Mohamad Adzib turut merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang memasuki Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada minggu lalu untuk menyampaikan sumbangan yang mana ia dianggapnya bukan satu tindakan yang sesuai kerana larangan penggunan masjid dan surau sebagai tempat berpolitik telah dikuatkuasakan di Selangor.

Malah, beliau turut meminta JAIS mengambil langkah yang sewajarnya mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, menjelaskan berhubung laporan tersebut, Haris menjelaskan bahawa penganjur tidak mengetahui langsung berhubung kehadiran Sivarasa dalam aturcara program sumbangan moreh anjuran penyelaras Dewan Undangan Negeri itu.

“Nazir berkenaan sebenarnya berhak menghalang Sivarasa untuk berucap tetapi sebaliknya memberi peluang kepada beliau berucap. Tindakan itu menjadi satu kesalahan.

“Setakat ini, kita telah menghantar surat kepada semua ahli politik supaya menghormati titah Tuanku supaya tidak dibenarkan berpolitik dalam masjid,” jelasnya.

-Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top