.... Titah Sultan, Semua Pihak Akur | AAKJ





Pas Selangor mahu semua pihak akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ber­kenan mengekalkan ketiga-tiga Exco daripada parti itu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga ke tarikh pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, per­kenan baginda itu perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak selaras dengan bidang kuasa baginda selaku Ketua Negeri sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Malah, beliau turut memberi jaminan bahawa tiga Exco Pas terbabit iaitu Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN), Cempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad; ADUN Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib dan 10 lagi ADUN mereka akan meneruskan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh untuk kepentingan rakyat Selangor.

“Pas menjunjung kasih dan menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Sultan Selangor serta berterima kasih atas pendirian yang dibuat oleh kepemim­pinan PKR.

“Bagi pihak yang sering mengeluarkan perkataan sumbang, dengki dengan kejayaan kerajaan Selangor dan mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana konflik politik di negeri ini, harap dapat mengambil pengajaran dan peringatan terhadap titah Sultan Selangor ini,” katanya dalam satu kenya­taan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sementara itu, Iskandar yang ketika ini menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, berharap titah Sultan Selangor itu dapat menamatkan sebarang spekulasi politik di negeri ini.

“Selangor perlu terus stabil agar kemakmuran yang dinikmati terus berkekalan sekali gus membolehkan kesemua Exco kerajaan negeri menumpukan kepada tugas membela rakyat dan memajukan negeri.

“Saya harap tidak ada lagi komen memanjangkan isu ini. Masa sekarang adalah untuk bekerja, bukan bercakap,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top