Kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon paling layak diangkat sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan disifatkan sebagai ‘menghina’ diri sendiri.
Pandangan itu disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengingatkan Rafizi bahawa pemimpin bersih bukan hanya daripada aspek rasuah atau salah guna kuasa tetapi juga meliputi moral serta akhlak.
Justeru, Ibrahim mempersoalkan hujah Rafizi apabila memberitahu Ahli Parlimen Pandan itu bahawa Anwar terang-terangan telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana perlakuan tidak bermoral beliau.
“Rafizi suka bercakap mengenai pentadbiran yang baik, bersih, telus, memang betul pemimpin mesti bersih. Tetapi kena tahu pemimpin bersih bukan sahaja dari rasuah dan salah guna kuasa tapi meliputi moral serta akhlak, itu prinsip utama tegakkan kerajaan berwibawa.
“Jadi saya boleh simpulkan hujah Rafizi bahawa Anwar masih relevan dengan politik Malaysia serta layak menjadi Perdana Menteri sebagai menghina diri beliau sendiri, PKR dan rakyat secara umumnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, Rafizi mungkin akan membangkitkan bahawa hukuman ke atas Anwar merupakan satu konspirasi, tetapi mengingatkan bahawa musuh politik sentiasa mencari kelemahan dan kekurangan lawannya.
Katanya, itu juga yang dilakukan oleh Anwar sebagai seorang ahli politik iaitu membongkar dan mendedahkan kelemahan musuh politik beliau.
“Isunya bukan masalah konspirasi, tapi Anwar yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Walau ada pihak rancang konspirasi tetapi kalau tiada bukti untuk jatuhkan Anwar, usaha itu tidak akan berjaya.
“Tetapi masalahnya beliau lakukan sesuatu luar tabii yang telah dibuktikan di mahkamah,” jelasnya.
Menurut Ibrahim, tindakan barisan kepemimpinan PKR mengangkat sepanduk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh pada kongres parti itu Ahad lalu jelas menghina komponen-komponan lain dalam Pakatan Harapan memandangkan belum ada persetujuan sebulat suara siapa calon mereka.
Beliau berpandangan, tindakan tersebut mengesahkan bahawa PKR hanya sebuah parti yang semata-mata mahu mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri dan tidak lebih daripada itu.
“Pada saya bila sebut Anwar calon Perdana Menteri seolah-olah tiada orang lain boleh jadi, tiada alternatif. Mohamad Sabu (Presiden PAN) pun boleh jadi, Azmin (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) boleh jadi Perdana Menteri, Muhyiddin (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga boleh,” ujar beliau.
- UM
Post a Comment Facebook Blogger