.... Timbalan Pengerusi DAP Sabah Digantung Tugas | AAKJ





Timbalan Pengerusi DAP negeri, Dr. Edwin Bosi digantung daripada menjalankan tugas-tugas parti bagi tempoh tiga bulan berkuatkuasa, semalam.

Perkara itu disahkan Setiausaha DAP negeri, Chan Foong Hin yang memberitahu, Bosi bagaimanapun masih boleh menjalankan tugas-tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan.

Menurutnya, Bosi yang masih dikekalkan jawatan dalam DAP negeri tidak boleh menyatakan pendirian atau pendapat buruk mengenai parti secara terbuka.


“Saya ada menghubungi Bosi menerusi aplikasi Whatsapp dengan menyertakan sekali surat penggantungan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Foong Hin memberitahu, beliau mengetahui mengenai penggantungan Bosi daripada e-mel yang dihantar kepadanya oleh Setiausaha Jawatankuasa Disiplin DAP pusat, Tai Sin Piau.

Selain beliau dan Bosi, ujarnya, surat itu turut dihantar kepada Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong.

Krisis melanda DAP Sabah timbul apabila Bosi membuat sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lalu seolah-olah 'mengugut' barisan kepimpinan parti itu supaya mengekalkan beliau sebagai calon pada kerusi DUN Kepayan.

Ekoran tindakan Bosi itu, Jawatankuasa DAP negeri yang tidak mempunyai jawatankuasa disiplin terpaksa merujuk kepada Jawatankuasa Disiplin DAP Pusat berhubung kenyataan ADUN Kepayan itu.

Sementara itu, Bosi ketika dihubungi enggan menjawab sama ada menerima surat penggantungan tersebut sebaliknya memberitahu akan berbincang dengan pimpinan dan penyokong DAP Kepayan terlebih dahulu berhubung perkara tersebut (penggantungan).

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top