.... Tak Sepakat Jawatan PM, Nampak Sangat Pembangkang Celaru | AAKJ





Belum pun memenangi pilihan raya, namun ketidaksepakatan parti pembangkang sudah mula tercetus dalam kalangan mereka dalam menentukan siapa yang paling layak sebagai Perdana Menteri.

Terbaharu, PKR dalam Kongres Nasional Tahunan Ke-12 hari ini bertegas mahukan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjawat jawatan itu jika Pakatan Harapan yang diketuai DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagaimanapun mahu perkara itu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi dalam Pakatan Harapan.

“Tak apalah kita bincangkan dalam Pakatan Harapan sebelum kita buat sebarang keputusan. Kena tanya Harapan (Pakatan Harapan). Ada empat parti dalam Pakatan Harapan (PKR, DAP, PAN dan PPBM).

“Tapi saya setuju sebaik-baik­nya calon Perdana Menteri di­umumkan sebelum pilihan raya,” katanya ketika ditemui dalam Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pre­siden PAN, Mohamad Sabu.

Terdahulu, dalam kongres yang sama, selepas amanat Anwar dibacakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebahagian besar perwakilan yang hadir menyatakan sokongan penuh mereka dengan mengangkat sepanduk bertulis ‘Anwar PM Ke-7’.

Malah, hasrat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri turut disuarakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam kongres sayap PKR itu semalam.

Namun dalam kongres itu hari ini dilihat Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama Presiden parti itu, Tan Sri Muh­yiddin Yassin tidak mengangkat sepanduk berkenaan sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin sekutu mereka yang lain.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung hasrat PKR untuk menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk menentukannya.

“Terpulang kepada rakyat sama ada mahu melantik Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh atau tidak,” jawabnya dengan ringkas.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top