.... Tahaluf Siyasi Atau Tiga Penjuru? | AAKJ





Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) yakin Pas boleh menggerakkan tahaluf siyasinya bersama UMNO dengan menjadikan Selangor sebagai platform pertamanya.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam menarik perhatian bagaimana perkara itu perlu direalisasikan.

Utusan: Bertahaluf siyasi antara Pas dan UMNO salahkah?

ZULKARNAIN: Ia tidak salah demi kepentingan umat Islam khususnya orang Melayu. Kita masing-masing lupakan sengketa yang ada. Pas fikirkanlah tahaluf siyasi ini setelah DAP, PKR dan PAN menikam Pas dari belakang.

Pas barangkali dilihat lemah sehingga Pakatan Harapan dikepalai DAP ada percaya PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia boleh menjadi pengganti?

ZULKARNAIN: Sebenarnya mereka dalam pakatan itu tidak pernah mengenang jasa jentera pilihan raya Pas yang antara faktor penting memenangkan calon-calon DAP dan PKR. Siapa PKR tanpa Pas? Siapa DAP tanpa sokongan orang Melayu? Bersih (himpunan jalanan) tanpa Pas, bukankah lesu? Tidak salah untuk Pas mulakan tahaluf siyasi di Selangor memandangkan jumlah kerusi DUN dimiliki Pas di negeri itu ketiga terbanyak selepas Kelantan dan Terengganu.

Kalau diperhatikan pun tahaluf siyasi Pas-UMNO ini nampak serasi, benarkah?

ZULKARNAIN: Bukan sahaja serasi tetapi matlamat memperjuangkan Islam itu sama. UMNO senada dengan Pas dalam perjuangkan usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Presiden dua parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sanggup bersama berhimpun membantah kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.

Apa pro dan kontra dari tahaluf siyasi ini?

ZULKARNAIN: Pertama, kita perlu kaji siapa yang untung dari keluarnya Pas dari pakatan pembangkang? Bukankah DAP?

Inilah hasil ‘pecah dan perintah’ yang dimainkan oleh DAP. Mereka berjaya memecahbelahkan parti-parti politik Melayu ini. Kini ada lima parti Melayu.

Apa maksudnya?

ZULKARNAIN: Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, siapa yang meraih laba politiknya? Katakan ada tiga calon Melayu bersaing iaitu UMNO, Pas dan PAN atau PKR di satu-satu kawasan yang biasanya akan ada antara 15 hingga 30 peratus pengundi Cina dan India di situ. UMNO dan Pas masing-masing ada penyokongnya manakala PAN/PKR bukan sahaja akan meraih sokongan sebahagian undi Melayu, bahkan memiliki ‘bonus’ lagi dari undi penyokong tegar DAP.

Rumusannya, tidak semua persaingan tiga penjuru di kawasan Parlimen dan DUN menguntungkan UMNO dan Pas.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top