.... Skandal Judi FOREX: Lim Kit Siang Lindungi Mahathir | AAKJ





Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak akan memberikan maklumat yang boleh mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam siasatan skandal kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) melalui aktiviti spekula­si mata wang asing demi menjaga kepentingan politiknya.

Bekas Naib Penge­rusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, sehubungan itu, tindakan pasukan petugas khas siasatan skandal itu yang memanggil Kit Siang disifatkan sebagai membuang masa kerana pemim­pin utama Pakatan Harapan itu tidak akan ‘menggadaikan’ hubungan politiknya dengan Dr. Mahathir.

Katanya, Kit Siang kini lebih memerlukan Dr. Mahathir untuk kelangsungan politiknya kerana beliau sedar pengaruh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu terhadap pengundi Melayu sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

“Semasa skandal itu berlaku, Kit Siang menuduh Dr. Mahathir dan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin yang bertanggungjawab untuk ‘bencana’ forex dan beliau juga menulis sebuah buku untuk menyokong dakwaannya.

“Meskipun ketika itu Kit Siang merupakan barisan pertama yang ingin membongkar isu tersebut, tetapi kini beliau akan berfikir panjang sebelum memberi kenyataan. Pastinya Kit Siang tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan Dr. Mahathir yang kini ‘sekatil’ dengannya dan dilihat boleh memenuhi impian politiknya untuk ‘menakluki’ Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kit Siang dijangka bertemu dengan pasukan petugas khas siasatan kerugian forex BNM Khamis ini untuk memberi kenyataan berhubung skandal kewangan negara yang terjadi pada awal 1990-an itu.

Sementara itu, tegas Tunku Abdul Aziz, tindakan Kit Siang yang secara tiba-tiba mengaitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika dipanggil pasukan petugas khas hanyalah taktik untuk mengalih perhatian semua pihak terhadap skandal forex yang berlaku pada era pentadbiran Dr. Mahathir.

Katanya, Kit Siang akan meng­akhiri ‘sandiwara’ dengan me­ngatakan beliau hanyalah mencari keadilan untuk rakyat yang merupakan satu pembohongan besar dan pada hakikatnya beliau hanya diktator hipokrit semata-mata untuk mengekalkan kuasa politiknya.

“Semua tahu 1MDB sudah menjalani penyiasatan yang te­lus secara menyeluruh dan tiada apa yang dijumpai malah mereka (pembangkang) juga tidak dapat memberikan bukti kukuh terhadap apa yang didakwa.

“Saya sangat kenal dengan mereka ini. Mereka akan cuba mengalihkan perhatian terhadap isu sebenar untuk mengaburi mata masyarakat dengan menimbulkan kesalahan lawan mereka,” katanya.
 
-Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top