.... Sesat: DAP Gagal Perangkap Pas | AAKJ




DAP merupakan sebuah parti yang ditolak UMNO sejak awal penubuhan sehingga kini kerana latar belakangnya yang mempunyai kaitan dengan PAP selain pendekatannya mendukung agenda sosialis serta cauvinis.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, walau apa pun, Pas boleh dianggap berani kerana sudi 'bersahabat' dengan DAP namun sebagaimana diramalkan, hubungan tersebut tidak kekal lama kerana roh dan semangat DAP yang kekal berkiblatkan PAP.

Kata beliau, kenyataan DAP yang mendakwa Pas sesat dalam perjuangan merupakan gambaran kekecewaan parti itu kerana gagal memerangkap Pas untuk terus menjalinkan kerjasama dengan mereka.

“Kalau nak tuduh Pas sesat, saya fikir DAP patut cermin diri dulu. Itu kata-kata orang yang kecewa kerana dia mahukan Pas, tetapi Pas menolak dia.

“Saya ucap tahniah kepada Pas kerana berani mengambil risiko cuba berbaik dengan DAP sebelum ini walaupun sudah mengetahui sejarah parti itu.

"Tidak seperti UMNO yang sejak dulu, kini dan selamanya dengan tegas menolak DAP selagi mereka mendukung dasar sosialis dan pendekatan politik perkauman, ditambah dengan DNA PAP yang ada pada mereka dan sejarah hitam parti itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Sang Saka Bangsa daripada UMNO Bahagian Kubang Kerian kepada UMNO Bahagian Ketereh untuk Larian Bendera Sempena Ulang Tahun ke-71 UMNO di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), di sini hari ini.

Konvoi UMNO Kubang Kerian dipimpin oleh Ketuanya, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Pas mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama menunjukkan parti itu 'sesat' dalam berpolitik dan situasi tersebut hanya akan menguntungkan BN.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, DAP kecewa kerana agendanya mahu memerangkap keseluruhan 'badan' Pas gagal, sebaliknya hanya memperoleh 'ibu kaki' yang kemudiannya menjadi PAN.

“Tahniah kepada Pas kerana telah memotong ibu kaki itu bagi menyelamatkan 'betis' dan ‘paha' mereka. Saya yakin tindakan itu tepat kerana Pas lebih sihat sekarang," katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top