.... Rasuah: Speaker Dun P.Pinang Tolak Usul Guan Eng Bercuti | AAKJ





Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, tegang apabila keputusan Speaker DUN menolak usul menuntut Ketua Menteri, Lim Guan Eng bercuti sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya selesai dibantah wakil Barisan Nasional (BN).

Ketegangan tercetus apabila, Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) tidak berpuas hati dengan penjelasan, Datuk Law Choo Kiang berhubung perkara itu selain mendakwa jawapan bertulis speaker membabitkan penolakan usul berkenaan juga tidak dinyatakan dengan jelas.

Terdahulu, Choo Kiang berkata usul berkenaan ditolak kerana perkara itu itu sudah termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Kerajaan Negeri termasuk kes membabitkan prosiding mahkamah, disabit kesalahan atau dalam tempoh rayuan.

“Semua perkara termasuk isu kehilangan kelayakan disebut dalam peraturan berkenaan. Jadi ia sudah jelas… dan ahli dewan sepatutnya tidak bahas usul yang jelas sudah ada jawapan.

“Saya tidak mahu timbul anggapan bahawa dewan ini buat ketetapan yang membawa ketidakadilan kepada penjawat awam, melainkan pegawai berkenaan membuat keputusan dan atas budi bicaranya sendiri,” katanya ketika menerangkan penolakan usul berkenaan dalam mesyuarat DUN di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhamad Farid berkata, usul berkenaan tidak meminta Guan Eng meletak jawatan atau hilang kelayakan, sebaliknya meminta Ketua Menteri bercuti sementara menunggu siasatan kes berkenaan selesai.

“Usul kita hanya minta supaya pegawai kerajaan negeri yang sedang disiasat bercuti bagi membolehkan pihak berkuasa membuat siasatan dan bukannya soal hilang kelayakan.

“Bagaimanapun, speaker tidak jawab dan hanya jawab enam baris dalam jawapan bertulis dan itu pun tidak jelas. Tidak timbul isu ketidakadilan dan sebab itu penting usul ini dibahaskan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang DUN, Datuk Jahara Hamid kecewa apabila tiga usul BN dalam DUN ditolak, termasuk usul menuntut Guan Eng bercuti sementara menunggu perbicaraan kes rasuahnya selesai.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top