.... PRU-14 : Bilangan Kerusi Di Selangor, PAS Tidak Akan Bincang Dengan PKR | AAKJ





Pas Selangor memaklumkan parti itu tidak akan melakukan sebarang rundingan pembahagian kerusi dengan PKR sekiranya Majlis Syura Ulama mengambil keputusan yang selari dengan ketetapan di muktamar baru-baru ini iaitu memutuskan hubungan dengan PKR.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, jika ketetapan itu diambil Pas negeri kekal dengan pendirian bertanding sehingga 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor berbanding hanya 20 kerusi ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“Jika Majlis Syura Ulama putus bahawa hubungan dengan PKR putus, tiada keperluan untuk kita berunding dengan PKR, kita akan bertanding ditempat yang telah kita sasarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Sallehen turut menolak tanggapan banyak pihak bahawa pentadbiran negeri kini berada dalam keadaan tidak menentu ekoran perkembangan terbaharu parti itu dengan PKR.

Menurutnya, tanggungjawab bersama tetap dilaksanakan barisan Exco dan perkara itu katanya sudah terbukti apabila pentadbiran negeri tetap lancar walaupun Pas telah memutuskan hubungan dengan DAP.

“Pentadbiran negeri tetap berjalan seperti biasa dan tanggungjawab bersama itu wujud, sebelum ini pun Pas sudah tidak ada hubungan dengan DAP tetapi pentadbiran negeri tetap baik,” katanya.

- Bicara News

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top