.... Petisyen Bebas Anwar Permainan Politik Bahaya | AAKJ





Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menandatangani petisyen untuk membebaskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan musuhnya pada suatu ketika dahulu dianggap permainan politik yang sangat berbahaya kepada negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan itu juga boleh dianggap seperti ada udang di sebalik batu malah mungkin agak pahit untuk diterima oleh semua kelompok penyokong Dr. Mahathir bahkan penyokong Anwar.

“Kedua-dua pemimpin ini boleh menganggap peristiwa lama itu telah berlalu dan mungkin kononnya boleh dilupakan.

“Namun sejarah terdahulu mungkin tidak mudah untuk dilupakan oleh penyokong tegar kedua-duanya yang berkeras untuk menamatkan Mahathirisme setelah Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan seakan dihina oleh Dr. Mahathir pada 4 September 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Irmohizam, kedua-dua pemimpin tersebut sanggup menggadaikan kesetiaan penyokong demi meraih sokongan baharu dengan apa cara sekalipun untuk mencapai kepentingan sendiri.

“Rakyat seakan diperkuda dengan segala lakonan dan tipu helah politik daripada memikirkan penghidupan sebenar rakyat. Adalah mustahil kedua-dua pemimpin ini boleh dilihat mereka mudah lupa atau telah buat-buat lupa,” katanya.

Tambahnya, sokongan padu rakyat dan keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) terletak pada khidmat bakti yang ditaburkan dan bukannya hanya menjadi pengikut yang terikat dengan provokasi dan fitnah.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top