.... Pengundi Melayu Masih Jadi Penentu PRU-14 | AAKJ





Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka diadakan tidak lama lagi walaupun tarikh tepat belum lagi diketahui. Tarikh bilakah PRU-14 akan diadakan tidak penting. Yang jauh lebih penting adalah keputusan pengundi dalam menentukan parti politik manakah yang akan menerajui Kerajaan Pusat dan juga menguasai pentadbiran di peringkat negeri.

Apakah keputusan PRU-14 nanti berbeza daripada keputusan PRU-12 pada 2008 dan PRU-13, 2013? Sama ada pihak BN masih tetap menguasai pentadbiran pusat atau beralih kepada pihak pakatan pembangkang? Adakah BN akan terus kekal menguasai Kerajaan Pusat atau akan diambil alih oleh pakatan pembangkang?

Sejauh manakah pakatan pembangkang boleh diterima oleh pengundi secara menyeluruh? Kenapa pada PRU-13, pakatan pembangkang gagal menguasai Kerajaan Pusat? Jumlah kerusi Parlimen yang dikuasai pakatan pembangkang pada 2013, hanya 89 kerusi berbanding 133 dimenangi BN. Bilangan kerusi diperlukan pakatan pembangkang pada PRU-13 hanya 23 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan, tetapi kenapa jumlah ini gagal diperoleh?

Daripada jumlah 89 kerusi itu, jumlah yang paling banyak adalah DAP dan PKR bukan Melayu. Komponen pakatan pembangkang daripada parti politik Melayu-Islam iaitu PKR Melayu dan PAS adalah jauh lebih kecil. Secara rumusan mudah, adalah sokongan kecil diberikan pengundi terhadap PAS dan PKR Melayu yang menjadi sebab utama pakatan pembangkang gagal mendapat jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk Kerajaan Pusat.

DAP tak dapat sokongan Melayu

Keadaan sama juga berlaku pada peringkat negeri, menyebabkan pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan negeri seperti yang berlaku di Negeri Sembilan. Dalam kes Negeri Sembilan, hanya calon DAP dari kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina menang besar, tetapi gagal mendapat sokongan pengundi Melayu terhadap calon PAS dan PKR di kawasan DUN yang mempunyai pengundi majoriti Melayu.

Dalam pertandingan antara PAS dan PKR Melayu melawan calon BN, calon BN/UMNO lebih diterima dan mendapat sokongan pengundi. Kenapa parti politik Melayu dalam pakatan pembangkang gagal mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu pada PRU-13? Adakah kerana pengundi benar-bebar berpuas hati dengan calon dan dasar BN/UMNO? Dalam banyak pertandingan antara calon UMNO dengan PKR dan PAS di kawasan majoriti pengundi Melayu, secara umumnya dimenangi calon UMNO.

Adakah calon UMNO itu diterima sepenuhnya oleh pengundi? Rumusan mudah yang dapat kita buat ialah pengundi masih rasional dan melihat kestabilan dan masa depan negara bagi kepentingan jangka panjang. Adakah pengundi Melayu amat berpuas hati dengan semua dasar dan apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan? Jawapan mudahnya adalah tidak sepenuhnya berpuashati, tetapi masih yakin dengan dasar dan falsafah umum pihak kerajaan berbanding falsafah politik pihak pembangkang.

Walaupun ada pihak mengeluar pendapat bahawa, tukarkan sahaja untuk seketika kepada sebuah kerajaan baharu (iaitu merujuk kepada pihak pembangkang), tetapi majoriti pengundi utama masih rasional bahawa menukar kerajaan dalam sebuah masyarakat majmuk pelbagai agama dan kepercayaan bukan semudah menukar resipi masakan yang sekiranya tidak mengikut selera, maka boleh tukar balik kepada resipi asal. Menukar kuasa politik yang menguasai dan memerintah negara, tidak semudah itu dan perlu difikirkan semasak-masaknya.

Daripada senario dan gelagat pengundi ditunjukkan pada PRU-12 dan PRU-13, keputusan dibuat oleh pengundi Melayu banyak menentukan corak keputusan umum, iaitu parti politik manakah yang akan membentuk Kerajaan Pusat.

Secara umumnya pengundi Melayu belum boleh menerima DAP dan masih rasa sangsi dengan matlamat sebenar DAP. Walaupun ada orang Melayu menyokong DAP, masih sangat kecil bilangannya. Apa yang lebih meluas adalah rasa sangsi terhadap DAP dan tidak yakin DAP akan membela perjuangan Melayu dan Islam. Perkembangan semasa yang berlaku seperti ketika pembentangan pindaan RUU 355 baru-baru ini mengukuhkan lagi pegangan orang Melayu terhadap DAP.

Oleh kerana fahaman yang sebegitu orang Melayu terhadap DAP, maka bukan sahaja DAP ditolak, tetapi juga parti Melayu yang bekerjasama dengan DAP juga ditolak. Parti Amanah Negara (PAN), PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agak sukar mendapat sokongan besar dan meluas daripada pengundi Melayu kerana kerjasama politik yang berlaku antara parti politik Melayu ini dengan DAP.

Sebahagian besar orang Melayu dapat membezakan strategi politik semasa DAP dan falsafah politik serta matlamat akhir politik DAP. Strategi DAP adalah bagi menarik sokongan besar pengundi, khususnya pengundi bukan Cina. Apabila berlaku sokongan bukan Cina yang meluas kepada DAP, maka parti ini akan lebih kuat. Tetapi setakat ini ia belum berjaya.

BN mampu bentuk kerajaan

Walaupun BN/UMNO tidak disukai sepenuhnya oleh orang Melayu, berasaskan pengalaman dua pilihan raya umum lalu, BN dan UMNO masih mampu meraih jumlah kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan. Jika UMNO dan PAS berjaya membentuk kerjasama politik, lebih memungkinkan kemenangan lebih besar.

Apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak semuanya boleh diterima oleh orang Melayu, tetapi falsafah politik kedua-dua parti politik utama orang Melayu ini pada dasarnya lebih diyakini oleh sebahagian besar orang Melayu daripada falsafah politik pakatan pembangkang.

Dasar semasa yang lebih baik perlu dilakukan oleh UMNO terhadap bangsa Melayu, khususnya yang berteraskan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi menarik sokongan lebih kuat terhadap UMNO dan BN. Berasaskan sejarah pilihan raya umum lalu, keputusan PRU-14 sukar untuk berubah dan BN akan terus kekal mendapat jumlah kerusi Parlimen yang cukup bagi menguasai Kerajaan Pusat.

- Bicara News


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top