.... PCM Buktikan Pas Tidak Ditolak Bukan Islam | AAKJ





Kesediaan Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan bukti bahawa Pas tidak ditolak oleh golongan bukan Islam.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pas pada bila-bila masa boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk bukan Islam selama mana dasar dan prinsip perjuangan Pas diterima dan dihormati.

“Pas mengalu-alukan kehadiran PCM untuk bersama kami dan sangat berbesar hati.

“Kami dan menyeru supaya mereka yang bukan Islam tidak perlu ragu terhadap perjuangan Pas kerana kami bukan sebuah parti yang rasis apatah lagi untuk memaksa agama lain,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Semalam, Naib Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan dilaporkan menyatakan bahawa PCM bersedia untuk bekerjasama dengan Pas khususnya bagi menghadapi PRU-14.

Menurut Nasrudin, tindakan PCM adalah tepat dan kena pada masanya malah kehadiran PCM juga akan turut mengukuhkan Gagasan Sejahtera dalam memacu gerakan perubahan dan memimpin kebangkitan rakyat.

“Saya percaya Cheng Guan sebagai seorang yang terpelajar dan mempunyai pengaruh yang tersendiri dalam kalangan bukan Islam terlebih dahulu telah membuat analisis dan kajian terhadap perjuangan Pas.

“Saya pasti kenyataan beliau tidak terburu-buru sebaliknya dengan penuh sedar dan faham situasi politik hari ini, lantas PCM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pas tidak mempunyai wajah kedua untuk berpura-pura dengan pihak bukan Islam.

“Wajah Pas hanya satu. Bersama umat Islam, Pas perjuangkan Islam, kepada bukan Islam juga Pas berjuang di atas prinsip Islam yang membawa keadilan untuk semua,” katanya.

-UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top