.... PAS Selangor Tidak Terkesan Dengan Kata-kata Anwar | AAKJ





Pas Se­langor menegaskan akan tetap kekal dalam kerajaan negeri walaupun Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengajak kepemimpinan dan ahli-ahli parti itu supaya melupakan Pas.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri, Ir. Mohd. Haslin Hassan berkata, beliau tiada masalah sekiranya ajakan sama itu turut dibuat oleh mana-mana pemim­pin Pakatan Harapan kerana ia tetap tidak akan memberi kesan kepada Pas.

Menurutnya, ini kerana secara rasminya Pas ketika ini tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan sama ada PKR, DAP, PAN mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Maka, mana-mana pihak termasuk Anwar boleh kemukakan apa juga pandangan mereka terhadap Pas. Bagi saya, tidak ada masalah dengan perkara itu.

“Sebaliknya, kerana kita ke­kal dengan prinsip serta keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti termasuk Majlis Syura Ulama yang telah memuktamadkan soal hubungan di antara Pas dan PKR sebelum ini.

“Kita akan tetap kekal menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Kita juga yakin dengan kemampuan kita untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Anwar menyeru seluruh kepemimpinan dan ahli-ahli PKR supaya melupakan terus Pas yang tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan de­ngan parti itu.

Permintaan tersebut dimaklumkan Anwar melalui satu amanat yang dibacakan anaknya, Nurul Izzah sempena Kongres Tahunan PKR Ke-12.

Dalam pada itu, Mohd. Haslin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat menafikan saranan Anwar itu sebagai isyarat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya menggugurkan tiga Exco Pas daripada kerajaan Selangor.

“Pucuk pimpinan Pas Pusat baru-baru ini memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dalam tempoh terdekat ini, tetapi tarikh dan masanya belum ditentukan lagi.

“Namun, pertemuan itu mungkin dibuat selepas Mohamed Azmin mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan partinya. Setakat ini, semua Exco Pas kekal dalam kerajaan negeri dan meneruskan tugas seperti biasa,” ujarnya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top