.... Pas Sanjung Sultan Selangor | AAKJ





Pas menjunjung tinggi lim­pah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengekalkan ketiga-tiga Exco dari parti itu dalam Maj­lis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, limpah perkenan Tuanku amat disanjung tinggi untuk memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor demi menjaga kebajikan dan kemakmuran rakyat.

Beliau berkata, ketiga-tiga Exco berkenaan dan 10 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu diyakini akan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil serta saksama.

“Patik dan seluruh ahli Pas merafak sembah ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih dan takzim atas limpah perkenan Tuanku Sultan Selangor untuk mengekalkan ketiga-tiga ADUN daripada Pas.

“Patik sepenuhnya meyakini bahawa ketiga-tiga Exco ini dan 10 orang ADUN Pas tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Selangor berkenan de­ngan hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan ketiga-tiga Exco daripada Pas dalam MMKN sehingga ke tarikh pilihan raya umum akan datang berikutan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, Sultan Selangor berkenan agar kedudukan Exco sedia ada dikekalkan demi kepentingan rakyat dan usaha pembangunan Selangor terus dilaksanakan.

Baginda juga mengambil kira mandat yang diberikan oleh rak­yat kepada kerajaan negeri yang sedia ada untuk terus mentadbir bagi menjamin keharmonian dan pembangunan agar kemakmuran rakyat Ne­geri Selangor ini tercapai.

Sultan Selangor turut menyeru kepada semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi negatif tentang ke­stabilan Kerajaan Negeri Selangor.

Tiga Exco Pas ber­kenaan ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Di Kota Bharu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya yakin baginda membuat ketetapan tersebut selepas menimbang segenap aspek dengan cukup teliti termasuk mengutamakan kepen­tingan rakyat secara keseluruhan.

“Hubungan politik itu lain, dari segi pentadbiran kerajaan negeri pula lain. Pentadbiran kerajaan negeri dibentuk selepas kita mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya serta mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

“Pas menyambut baik per­kenan baginda untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri. Andai kata tidak mendapat per­kenan baginda pun, kita tetap akan reda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Takiyuddin dalam pada itu menegaskan, ketiga-tiga Exco berkenaan tidak mempunyai kepentingan peribadi apabila memilih mengekalkan jawatan, sebaliknya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira mandat diberikan rakyat dalam PRU-13.

“Jadi tak usahlah mana-mana pihak terus persoalkan tindakan dibuat oleh wakil Pas ini. Kita selama ini tegas dalam meme­gang prinsip dan mengetepikan sebarang kepentingan peribadi,” katanya.

Mengenai jawatan ahli PKR dalam pentadbiran di Kelantan, Takiyuddin berkata, keputusan Pas tetap sama iaitu kesemua lantikan tersebut kekal seperti sedia ada biarpun tahaluf siyasi antara PKR dengan Pas telah terbatal.

“Kita tidak akan pecat me­reka. Kita mengalu-alukan me­reka untuk kekal supaya dapat berkhidmat kepada rakyat sekurang-kurangnya sehingga PRU-14,” katanya.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top