.... Parti ‘Desperado’, Rakyat Perlu Tolak Awal-awal | AAKJ





Rakyat perlu menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diibaratkan seperti parti ‘desperado’ kerana hanya terdesak untuk menjatuhkan kepemimpinan UMNO yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, matlamat penubuhan PPBM juga bercelaru malahan tidak selari dengan kewibawaan pemimpin atasan.

“Kalau lihat matlamat penubuhan mereka antaranya ialah memberikan perhatian kepada reformasi institusi untuk mengembalikan integriti dalam pentadbiran negara. Soal saya, sedangkan kesalahan yang Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah lakukan lebih banyak bagaimana mereka ingin betulkan negara?

“Mula-mula isu skandal kerugian besar Bank Negara Malaysia (BNM) sudah terdedah, belum lagi isu Perwaja Steel Sdn. Bhd., berapa banyak bangsa Cina yang beliau pernah bagi laba politik sehingga negara mengalami kerugian? Malah, Dr. Mahathir pernah memecat Ketua Hakim serta tiga hakim mahkamah tertinggi di negara ini pada 1988,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai ketidakmampuan PPBM untuk menjadi sebuah parti politik yang benar-benar mewakili orang Melayu apatah lagi memperjuangkan nasib mereka dan agama Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Shahbudin juga berkata, PPBM tidak mampu memberi impak yang besar kerana mereka ibarat ayam bertelur sebiji, riuh sekampung.

“PPBM ini ceramah masuk kawasan kampung sahaja dan atas platform parti pembangkang yang lain. Kalau di Pulau Pinang atas tiket DAP, di Selangor PKR beri ruang dan yang hadir gerombolan mereka sahaja. Adalah juga yang menjadi pengikut mereka tetapi tidak beri kesan pada UMNO.

“Malah, siri ceramah mereka di setiap negeri juga umpama pentas ‘Raja Lawak’ sahaja. Berapa banyak kali saya dengar, mereka tetap berlegar dengan isu sama umpama cakap berdegar-degar, tahi telinga tersangkut di gelegar sahaja,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, janji PPBM yang kononnya hendak memperjuangkan nasib orang Melayu lebih baik daripada UMNO hanya omong kosong kerana parti berkenaan bekerjasama dengan DAP yang secara jelasnya tidak pernah memihak orang Melayu.

“Mereka sendiri dilihat menjadi alat yang digunakan DAP untuk memecah-belahkan parti yang dikuasai oleh orang Melayu dan bumiputera. Justeru, bagaimana mereka hendak membantu orang Melayu?

“Oleh itu, kita menasihatkan rakyat agar tidak meletakkan harapan ke atas parti ini yang tidak berasaskan kepada falsafah politik, sebaliknya hanya atas dasar periba­di demi kepentingan satu kelompok atau seseorang individu. 
Ditanya mengenai pengaruh dua pucuk utama kepemimpinan dalam parti tersebut, Rosdi berkata, pengaruh kedua-duanya sudah ‘expired’ dan tidak mendatangkan kepenti­ngan serta menjanjikan apa-apa lagi.

- UM

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top