.... Orang Kecewa Dan Keluar Parti Tidak Memberi Kesan Kepada UMNO | AAKJ






UMNO tidak perlu bimbang dengan orang yang telah keluar parti kerana mereka ialah individu kecewa dan tidak mampu mentadbir negara, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Jelasnya, UMNO ialah sebuah parti rasional dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.
“Jadi ramai yang cemburu dengan apa yang UMNO laksanakan. Saya tidak bimbang kerana orang yang keluar UMNO ini ialah orang kecewa.
“Takkan kita boleh percaya dengan orang kecewa? Kecewa tidak boleh mentadbir negara,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan program ‘Jom Bantu Rakyat Sihat dan Ceria’ di Kelab Tasik Putrajaya.
Tambahnya, sikap kecewa hanya akan memakan diri dan menyebabkan mereka bertindak secara tidak rasional.
“Kita rapat dan merasai denyut nadi rakyat dan kita bukan orang kecewa. Kecewa ini kadang kala akan banyak menghantui mereka hingga kadang kala apa yang mereka lakukan menjadi tidak rasional,” kata Tengku Adnan.
Kata beliau lagi, cara UMNO adalah berbeza dengan pembangkang yang hanya dilihat pandai menabur fitnah terhadap kerajaan.
“Kita parti yang rasional dan merupakan pemimpin yang ‘walk the talk’ dan kita ‘bukan walk-walk, fitnah dan membohong’. Semua cerita pembangkang bohong,” kata Tengku Adnan.
Selain itu, katanya, UMNO akan sentiasa melakukan perubahan mengikut arus perkembangan zaman walaupun parti itu sudah mencecah usia 71 tahun.
“UMNO dulu, kini dan selamanya. Kita buat ikut masa yang perlu. Kita buat pelbagai perubahan. Kita tengok presiden kita sanggup mendengar, membuat perubahan, pembaikan.
“Itu yang membuat ramai yang cemburu atas apa yang kita lakukan kerana kesilapan yang kita lakukan dalam kerajaan dulu, kita sudah perbetulkan. Itu yang kita lakukan kerana kita mahu rakyat mendapat keselesaan dan lestari dalam kehidupan,” ujarnya lagi.
Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 akan disambut 11 Mei ini di Stadium Bukit Jalil di ibu negara. – aw

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top