Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatan Mustafa itu digantikan dengan Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Beliau (Mustafa) akan menasihatkan parti apabila diperlukan selain berperanan sebagai penasihat kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Pas, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan sejak 1 Mei hingga hari ini itu turut sebulat suara melantik Razman Zakaria sebagai bendahari parti menggantikan Mohamad Noor Mohamad.
Katanya, seramai tiga Pesuruhjaya Pas negeri juga ditukar iaitu Terengganu, Selangor dan Johor.
"Datuk Husin Awang dilantik sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu menggantikan Saiful Bahri Mamat, Sallehen Mukhyi menggantikan Datuk Iskandar Abdul Samad di Selangor dan Abdullah Hussin pula menggantikan Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sebagai Pesuruhjaya Pas Johor," katanya.
Dalam masa sama, Takiyuddin turut memberitahu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan menguruskan hal ehwal parti di luar negara termasuk menjaga kebajikan ahli-ahli.
Manakala tiga Naib Presiden Pas iaitu Idris Ahmad, Iskandar dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula, Takiyuddin berkata, mereka bertanggungjawab menjaga beberapa negeri yang dibahagikan kepada tiga zon.
Katanya, Idris akan menjaga Zon Utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak manakala Iskandar di Zon Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka) seterusnya Zon Timur (Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak) pula di bawah tanggungjawab Mohd. Amar.
Seramai tujuh pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu turut diputuskan dalam mesyuarat tersebut iaitu:
1. Mohd. Sanusi Md. Nor

2. Saiful Bahri Mamat


3. Mohamad Hussain


4. Dr. Mohd. Khalid Kassim


5. Zainal Abidin Kidam


6. Datuk Dr. Abdul Hakeem Johari


7. Wan Rohimi Wan Daud.